Setelah fail cerai kali ketiga, Pelakon Siti Fazurina Mohd. Famir berharap akan diberikan lagi peluang bagi membolehkan untuk dia dan suaminya memperbaiki hubungan sebagai suami isteri.

Siti Fazurina atau lebih mesra dengan panggilan Nina, 36, yang popular dalam siri drama Dunia Anita, ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini sebentar tadi, bagi sebutan kes cerainya bersama suami Mohammad Hykal Zulkifli ,37.

“Sebagai suami isteri kami tiada masalah berbangkit cuma perlu memperbaiki hubungan yang sedia ada. Kes cerai kali ini difailkan pada Ogos lalu dan merupakan kali ketiga apabila dua permohonan sama sebelum ini ditarik semula,” katanya yang mahu menjernihkan semula keadaan rumah tangganya dan akan menyerahkan segala keputusan kepada mahkamah.

Justeru Nina memberitahu bagi prosiding seterusnya mereka hanya menunggu panggilan dari mahkamah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada dia masih tinggal bersama suami, pelakon itu menjawap mereka masih sebumbung dan turut tinggal bersama ahli keluarga.

Terdahulu sebutan kes pasangan itu berlangsung dalam kamar dihadapan Hakim Syarie Ahmad Mutaqqi Ismail.

Kes cerai itu difailkan Nina selaku plaintif terhadap Mohamad Hykal sebagai defendan mengikut Sesyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah persekutuan) 1984, Ogos lalu.

Pasangan itu sebelum ini menimbulkan kontroversi selepas melangsungkan perkahwinan berwalikan bapa saudaranya tanpa pengetahuan keluarga yang diadakan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012.

Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 63, mendedahkan perkahwinan itu tidak sah berikutan Nina dipercayai memberi maklumat palsu kepada pejabat agama dengan mengatakan bahawa beliau anak tunggal sedangkan masih mempunyai dua adik lelaki kandung.

Nina dan Hykal dinikahkan semula pada 20 Mac 2013 dengan diwalikan adik kandungnya.

Iklan