Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara sinis memberitahu wartawan bahawa ada banyak lagi perkara mustahak yang patut menjadi perhatian media berbanding gambar tidak berbajunya di internet.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu gambarnya yang sedang menjalani terapi ais dalam tab mandi dengan tidak memakai baju di laman Instagram miliknya sebelum ini.

Susulan gambar tersebut, Ia menerima kritikan yang begitu hebat daripada pengguna media sosial sehingga beliau terpaksa memadamnya.

“Kalau boleh buat liputan isu yang lebih penting, saya rasa itu lebih mustahak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau yang juga anggota parlimen Muar tidak menjawab pemberita yang bertanya sama ada isu itu akan menjadikannya akan lebih berhati-hati di media sosial selepas ini.

Syed Saddiq sebaliknya berlalu meninggalkan media tanpa memberikan sebarang maklum balas.

Gambar itu dimuat naik Syed Saddiq selepas mengambil bahagian dalam Hari Sukan Negara Sabtu lalu. Difahamkan terapi ais itu biasanya digunakan oleh atlet dan ahli sukan untuk mempercepatkan pemulihan akibat kecederaan.

Gambar itu diiringi kata-kata “Lepas score golden goal, terus kena rendam dalam ais. Good game (Permainan yang bagus). @dugongallstars. #HariSukanNegara.”

Walaupun ada yang melihat gambar itu sebagai perkara biasa, namun lebih ramai pengguna media sosial merasakan beliau tidak patut berbuat demikian apatah lagi statusnya sebagai menteri kabinet. –MHETV

Iklan