Seorang selebriti Instagram, Azwan Aziz memohon jasa baik orang ramai terutama penduduk Beserah, Kuantan agar membantu mencari seekor kucing, Tuah yang hilang empat hari lalu.

Azwan yang menetap di Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata, dia membawa pulang kesemua lima ekor kucing belaannya ke kampung halaman pada minggu lalu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Semua kucing itu saya letakkan dalam sangkar masing-masing dan sesekali di bawah pemerhatian, kucing-kucing itu akan dilepaskan.

“Tetapi ketika Tuah dilepaskan, tiba-tiba dia lari ke luar tanpa disedari dan terus hilangkan diri sebelum saya temuinya dalam sebuah longkang 12 jam kemudian.

“Masa itu, Tuah kelihatan panik dan ketakutan. Saya cuba menghampirinya untuk membawa Tuah keluar, namun tindakan saya itu membuatkannya lari lebih jauh ke dalam longkang tersebut.

“Disebabkan longkang itu bertutup dan tidak boleh dibuka, kerja-kerja pencarian Tuah menemui jalan buntu,” ceritanya.

Justeru, Azwan merayu, jika ada penduduk sekitar Beserah yang menemui Tuah, kucing baka BSH Golden berusia dua tahun, harap dapat menghubunginya segera di talian 010-9122243.

“Tolong pulangkan Tuah kepada saya. Hanya yang sayangkan kucing sahaja tahu perasaan apabila kehilangan haiwan kesayangannya,” pinta Azwan dalam membuat rayuan. – MHE TV

Iklan