Tular di laman sosial, seorang gadis meminta bantuan daripada orang ramai untuk menderma buah pinggang kepadanya.
Puncanya, ubat gemuk! Dek kerana nak tambah berat badan, gadis ini  tanpa merujuk kepada doktor, mengamalkan supplemen selama 2 tahun yang dikatakan dibeli dari Jakarta, Indonesia.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, dia mengambil Harsen Yellow Tablet (Dexamenthasone) dan Kalbe Orange Tablet (Cyproheptidine).
Kini, pada usia 22 tahun, dia mengalami kegagalan buah pinggang tahap terakhir dan perlu membuat dialisis yang berpanjang di hospital.
Info untuk orang ramai, perkongsian oleh Pegawai Farmasi, Dziehan Mustapa di Facebooknya, ubat Harsen dan Kalbe ini merupakan nama dagangan bukan nama sebenar ubat.  Nama sebenar ubat ini adalah :
Harsen : Dexamethasone (Tablet berwarna kuning)
Kalbe : Cyproheptidine (Tablet berwarna oren)
Menerusi semakan menggunakan applikasi telefon pintar Medi-Quest untuk melihat adakah ia berdaftar untuk dipasarkan dalam negara ini.
Jawapan melalui semakan : “No Record Matched Your Search”
Bermaksud tiada tersenarai dalam sistem Quest. Dalam erti kata lain, ia tidak berdaftar dengan KKM dan tidak boleh dipasarkan dalam Malaysia.
Kedua-dua ubat ini berada dalam  “Senarai 162 Produk Dikesan Mengandungi Bahan Terlarang Yang Diterima Melalui Pelaporan Kesan Sampingan Ubat” yang dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) KKM pada 2 Feb 2017.
Harsen : Nombor 51 dalam senarai
Kalbe : Nombor 72 dalam senarai
Menunjukkan bahawa kedua-dua ubat ini telah ada individu yang menerima kesan sampingan dan laporan telah dibuat serta siasatan telah dijalankan oleh NPRA. Melalui siasatan yang dilakukan, maka telah dikesan isi kandungan kedua-dua ubat ini adalah Dexametasone sejenis hormon kortikosteroid dan Cyproheptidine sejenis ubat antihistamine.
● Dexametasone digunakan dalam rawatan anti-keradangan, asma, keradangan sendi.
● Cyproheptidine pula lebih digunakan untuk tujuan rawatan alahan (allergic condition)
Kesan sampingan Dexamethasone:
Pertumbuhan terencat, osteoporosis, Ulser perut, glaucoma and subcapsular cataracts, vertebral compression fractures. Cushing-like features, kegagalan fungsi pankreas, iritasi gaster, meningkatkan selera makan, meningkatkan risiko kerosakan kulit dan meningkatkan risiko jangkitan.
Kesan sampingan Cyproheptidine:
Kekeliruan, koordinasi yang terganggu, pening, mudah teruja, euphoria, halusinasi, sakit kepala, histeria, kesukaran untuk tidur, kerengsaan, kegelisahan, sedation, sawan, mengantuk, gegaran/tremor, vertigo, hipotensi, berdebar-debar, jantung berdegup laju, sakit perut, anoreksia, meningkatkan selera makan, sembelit , cirit-birit, mual, muntah, kesukaran untuk kencing, kerap kencing, penglihatan kabur, tinnitus, labyrinthitis akut, kesesakan hidung, pharyngitis, fotosensitiviti, ruam, urticaria, keletihan, menggigil.
Nampaknya antara kesan sampingan Dexamethasone adalah Cushing-like features dan meningkatkan selera makan.
Kesan sampingan Cyproheptidine juga ada meningkatkan selera makan, namun cyproheptidine ini juga boleh menyebabkan anoreksia (keadaan di mana kurang keiginan untuk makan sehingga menjadi amat kurus)
Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah itu Cushing-like features
Sindrom Cushing berlaku disebabkan tahap hormon kortisol yang tidak normal. ia boleh berlaku atas pelbagai sebab. Sebab yang paling biasa adalah kesan penggunaan ubat kortikosteroid.
Tanda dan gejala termasuklah tekanan darah tinggi, obesiti di bahagian abdomen tetapi dengan lengan dan kaki yang kurus, tanda kemerahan pada regangan kulit, wajah muka menjadi bulat dan kemerahan, ketulan lemak di antara bahu, otot dan tulang lemah menjadi, jerawat, dan kulit mudah rosak dan susah untuk sembuh. kadang kala ada perubahan mood, sakit kepala, dan perasaan keletihan yang amat sangat.
Bagi kaum wanita akan menunjukkan tambahan tanda dan gejala seperti  banyak tumbuh rambut dan kitaran haid menjadi tidak teratur.
Produk Harsen dan Kalbe ini tidak berdaftar dengan KKM. Maka ia tidak boleh dipasarkan di Malaysia.
Produk ini mungkin diseledup masuk dan dijual atas talian menerusi medium media sosial oleh individu yang tidak bertauliah serta dilakukan pembungkusan semula yang tidak mengikut peraturan serta panduan Amalan Pengilangan Bail (GMP).
RUMUSAN
Melihat kepada semakan, rujukan serta penjelasan yang telah saya buat….soalannya kini adakah berbaloi untuk anda mengambil risiko mengambil produk Harsen dan Kalbe ini untuk meningkatkan berat badan dengan mendapatkan kesan sampingan ubat tersebut iaitu meningkatkan selera makan?
Kalau setakat ingin meningkatkan selera makan, terdapat suplemen lain yang mempunyai indikasi dan bukannya menggunakan kesan samping untuk meningkatkan selera makan. Antara suplemen yang dikenal pasti adalah pengambilan Vitamin B Complex dan Lysine.
Mengapa ingin mengambil ubat hanya untuk mendapat kesan samping ubat tersebut? Inilah kesan menerima informasi secara mengkhinzir buta daripada penjual-penjual ubat di media sosial yang tidak bertauliah.
Yang mengambil produk ini mungkin merasakan ada kesan dalam meningkatkan berat badan apabila melihat wajah muka semakin bulat, kelihatan perut semakin buncit dan terdapat ketulan lemak di antara bahu…
namun mereka tidak sedar, semua gejala atau tanda ini adalah yang dinamakan Sindrom Cushing…iaitu tanda atau kesan daripada pengambilan ubat jenis hormon kortikosteroid.
Berhentilah mengambil ubat-ubatan yang di jual menerusi media sosial ini. Kembali kepada yang pakar. Tanyalah ahli farmasi dan doktor anda.
Selain daripada itu oarang awam juga boleh membuat panggilan ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800 88 6722. Melalui perkhidmatan pusat panggilan NPCC ini orang awam boleh bertanyakan sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan dan mendapatkan informasi yang sahih daripada pegawai farmasi bertauliah.
Iklan