Setelah hampir enam tahun disimpan, akhirnya filem sulung arahan Raja Mukhriz iaitu 7ujuh akan menjengah pawagam di seluruh tanah air bermula 8 November ini.

Menampilkan barisan pelakon seperti Johan As’ari, Marsha Londoh, Aeril Zafrel, Siti Saleha, Riz Amin, Pekin Ibrahim, Cristina Suzanne dan Deedee Nash, naskhah terbitan Primeworks Studio itu dijangka memberi saingan kepada beberapa filem bergenre seram sepanjang tahun ini.

Berlatarbelakangkan era 70-an dengan memilih destinasi percutian terkenal Cameron Highlands, 7ujuh dilihat masih relevan untuk tayangan semasa walaupun diperap sekian lama.

Mengisahkan tentang tujuh sekawan yang menuntut di sebuah kolej, percutian mereka ke sebuah rumah agam bernombor 7 bertukar menjadi tragedi apabila seorang demi seorang hilang dan terbunuh.

Siapakah dalang di sebalik kejadian misteri yang dialami mereka? Adakah benar wujud unsur mistik di kawasan sekitar yang didiami masyarakat Orang Asli itu atau sekadar perbuatan jenayah biasa yang cuba mengalih perhatian? – MHETV

Iklan