Tujuh Sasterawan Negara menerima Elaun Penghargaan Bulanan sebanyak RM 5,000 sebagai menghargai usaha dan dedikasi mereka memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perkembangan kesusasteraan tanah air.

Memetik laporan Bernama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata elaun tersebut diluluskan oleh Kementerian Kewangan melalui peruntukan tambahan kepada Kementerian Pendidikan mulai bulan ini.

“Elaun ini diharap dapat membantu menjamin kebajikan, memastikan kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada semua Sasterawan Negara agar terus menyumbangkan idea, pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Penghargaan Bulanan itu.

Sasterawan yang menerima elaun tersebut ialah Datuk Seri Dr A. Samad Said; Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal; dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata, pemberian elaun penghargaan ini merupakan satu inisiatif yang membanggakan.

“Ini sekaligus memberi mesej yang jelas kerajaan Pakatan Harapan, sementara menumpu perhatian pada pertumbuhan ekonomi, tidak meninggalkan malah tetap mempertahankan keutuhan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan juga mengangkat martabat sastera negara kita supaya dapat dinikmati oleh khalayak ramai,” katanya. – MHE TV

Iklan