Penyanyi baharu Zaki Yamani, 13, yang juga anak kepada Raja Pop terkenal Datuk Jamal Abdillah seboleh-bolehnya tidak mahu dikaitkan dengan ayahnya dalam membina kerjaya sebagai penyanyi.

Namun, Zaki akui dia tidak mampu menghalang orang ramai atau netizen yang mendakwa dia cuba menumpang populairiti ayahnya.

“Dah dia ayah saya. Sedikit sebanyak orang pasti akan kaitkan kami berdua. Hakikat itu harus saya terima kerana memang saya anaknya.

“Sejujurnya saya kurang selesa apabila orang mengaitkan saya menyanyi kerana mahu menumpang populariti ayah, sedangkan saya mahu cabar diri membuktikan bakat yang ada.

“Tidak dinafikan, darah seni ayah ada dalam diri saya. Bakat itu diwarisi. Namun , ia tidak adil kepada saya yang mahu berusaha dan berdiri dengan bakat sendiri.

“Saya tidak mahu orang meminati saya sebab saya anak Jamal Abdillah. Biarlah orang minat sebab bakat atau lagu yang saya bawa,” luah Zaki Yamani merupakan anak Jamal Abdillah bersama bekas isteri kedua Fatimatuzahra Samat, 36.

Dalam masa yang sama, Zaki mengaku jika ada peluang mahu berduet dengan ayahnya suatu hari nanti.

“Saya bangga dengan pencapaian ayah. Dia banyak berkorban untuk sampai ke tahap sekarang. Saya tahu tidak mudah baginya. Saya berharap boleh jadi penyanyi yang kuat semangat seperti ayah suatu hari nanti.

“Kalau ada peluang dan rezeki, saya mahu berduet dengan ayah. Biarlah saya timba pengalaman terlebih dahulu dalam bidang ini dan muncul dengan lagu sendiri, barulah saya bersedia untuk duet jika ada yang sudi gabungkan kami,” jelas Zaki Yamani lagi.

Penyanyi cilik ini sering mewakili sekolah dalam pertandingan nyanyian dan sudah mendapat banyak tawaran menyanyi di karnival dan majlis makan malam.

Menurut pengurusnya Syed Wafa, Zaki menyimpan hasrat mahu menyanyikan lagu ciptaan Hael Husaini.

“Saya sedang menunggu waktu yang sesuai untuk berbincang dengan lebih lanjut dengan Hael kerana dia sedang sibuk sekarang. Zaki sendiri yang memilih Hael kerana kagum dengan lagu-lagu ciptaan Hael yang diminati ramai,” jelas Wafa. – MHE TV

Iklan