Perbezaan jarak usia 16 tahun antara pelakon Intan Najuwa dan tunangnya, Razrul Anwar Rusli masih terus menjadi topik perbualan dalam kalangan umum.

Terbaharu, Razrul menjadi mangsa sindiran segelintir pihak dengan menggelarkan lelaki itu sebagai ‘ayah’ Intan.

Lebih teruk, ada yang mendakwa aktres berusia 22 tahun itu sekadar mahu menjadikan usahawan berusia 38 tahun itu sebagai ‘mesin ATM’.

Sindiran tersebut timbul selepas pelakon drama Tuan Danial itu memuat naik sekeping gambar bersama tunangnya beserta kapsyen, mengatakan dia rindu kepada lelaki itu.

Begitupun, Intan nampaknya tidak melatah dengan sindiran tersebut sebaliknya dia membalas komen warganet dengan nada lebih bersahaja.

“Macamlah awak tu kacak sangat, nak kutuk orang pula,” katanya.

Malah sebahagian pengguna media sosial membela pasangan tersebut dengan memberikan kata-kata positif dan meminta mereka usah memperdulikan komen negatif yang disifatkan dengki dan iri hati.

Pelakon bertubuh genit itu sebelum ini pernah membuat kenyataan, selain keserasian yang mereka capai, sikap matang dan memahami membuatkan dia terbuka hati untuk menerima lamaran Razrul.

Pasangan tersebut yang mengikat tali pada 18 Ogos lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Johor Bahru.

Bagaimanapun mereka belum menetapkan sebarang tarikh untuk majlis pernikahan disebabkan jadual kerja Intan yang sangat padat.

Iklan