BERGELAR penyanyi yang kerap kali berhadapan dengan ramai orang, membuatkan Nubhan Ahamad sentiasa menitikberatkan soal penampilan.

Justeru itu, dia yang sebelum ini pernah mengalami penambahan berat badan sehingga 86 kilogram (kg) kini mengamalkan rejim makanan yang seimbang.

“Empat tahun lalu berat saya pernah mencecah 86 kg. Masa itu saya sudah bergelar artis dan ambil masa enam bulan untuk kurus.

“Ya, saya memang tak selesa orang lain melihat fizikal tubuh badan saya pada masa itu agak berisi.

“Jadi, ketika itu saya nekad untuk cara pengambilan makanan dan amalkan diet seimbang,” tuturnya kepada MHE TV.

Ujar penyanyi yang baharu melancarkan single berjudul Tak Tahan itu lagi, walaupun kini dia sudah mendapatkan berat badan yang ideal, dia masih menjaga pemakanan.

“Berat badan saya sekarang sudah mencapai 72 kg. Alhamdulillah, setakat ini tidak pernah lagi mengalami peningkatan berat badan.

“Saya cuma berdiet dan selain itu turut joging untuk kekal ‘fit’.

“Lagipun saya buat semua ini pun demi menjaga kesihatan juga. Kalau tak jaga waktu sekarang, bila lagi kan?,” kongsinya lagi.

Iklan