Kerancakan konsert kumpulan Twice yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Sabtu bertukar hiba apabila kesemua anggotanya mengalirkan air mata.

Momen itu berlaku sebaik sahaja mereka menyaksikan video kejutan yang didedikasikan peminat kepada mereka

“Saya masih ingat, tahun lalu kami semua di bilik hotel dan sangat teruja untuk mengadakan konsert di depan kamu semua.

“Tapi kami terkejut apabila tiba-tiba mendapat berita konsert kami dibatalkan. Kami minta maaf dan terima kasih kerana sanggup menunggu selama setahun lagi untuk kami kembali ke sini,” kata Jihyo sambil mengesat air matanya.

Mengimbas semula detik hitam itu, konsert Twice yang sepatutnya berlangsung pada 27 Julai 2018 dibatalkan atas alasan isu keselamatan.

Sementara itu Momo pula berkata, dia faham perasaan Once (gelaran peminat) saat mendapat berita itu.

“Saya sangat tersentuh menonton video tadi dan tidak dapat menahan air mata.

“Saya faham dan dapat rasakan betapa sedihnya kalian dengan berita pembatalan itu. Begitu juga dengan kami.

“Terima kasih kerana datang dan kenangan hari ini paling kami tidak dapat lupakan, ujarnya sambil menahan sebak.

Selain Jihyo dan Momo, kumpulan naungan JYP Entertaiment ini dianggotai Jeongyeon, Jihyo, Nayeon, Chaeyoung, Dahyun, Sana dan Tzuyu.

Tapi sayangnya, Mina tidak dapat hadir kerana masih belum pulih akibat gangguan kecemasan (anxiety) yang dialami.

Momo tidak dapat menahan air mata kerana terharu dengan kejutan daripada peminat.

Dalam pada itu Twice turut meluahkan rasa lega kerana akhirnya mereka dapat menunaikan janji untuk kembali semula ke sini dan mengadakan konsert.

“Terima kasih atas sokongan kalian dan menjadikan hari ini paling indah dalam hidup kami. Janji, yang kita semua akan berjumpa lagi nanti,” ujar Daehyun sebelum mereka bersedia untuk meneruskan persembahan terakhir.

Dahyun menenangkan rakannya yang menangis kerana tersentuh dengan video kejutan dari peminat.

Berlangsung selama dua jam setengah, Twice sebelum itu mengubat kekecewaan seramai 10,000 penonton dengan deretan lagu hit mereka.

Antaranya, Cheer Up, Yes or Yes, Dance The Night Away, Heart Shaker, What Is Love, Likey, Ooh- Ahh, T.T, Fancy, Signal, Knock Knock.

Konsert anjuran IME Production ini berakhir pada pukul 7.00 malam sebaik sahaja Twice menutup persembahan mereka dengan lagu Stuck. – MHE TV

Iklan