Hiburan Trending Video

[VIDEO] 5 selebriti meninggal dunia selepas buat persembahan pentas

Nama-nama ini pernah menggegarkan pentas show di seluruh pelusuk negara. Dengan muzik dan seni, mereka mendekati umat manusia. Sehingga ke  penghujung hayat, mereka terus berjuang di pentas, bersaksikan ribuan manusia lain.

Bagaimanapun, rentak mereka sudah berbeza. Perjuangan mereka kini hanya ke jalan Allah SWT. Siapa pernah sangka, seorang anak seni tetapi di penghujung usianya mereka kembali kepada Allah dalam nada penuh keinsafan.

Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani)

Ustaz Asri Ibrahim disahkan meninggal dunia kira-kira pada jam 11 pagi, 13 Ogos 2009 akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur. Ketika itu beliau berusia 40 tahun dan menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Menurut saksi, beliau meninggal dunia selepas pengsan semasa memberi ucapan ketika sidang media program ‘Syahadah’ di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar 10.30 pagi.

Selepas pengsan, beliau dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC) di Bangsar untuk pemeriksaan. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Lancung, Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Majlis Bandaran Shah Alam di Seksyen 21, Shah Alam selepas Asar pada hari kejadian.

Azahari Ahmad (Raihan)

Allahyarham Azahari Ahmad atau Zairee yang merupakan ahli kumpulan nasyid, Raihan telah menghembuskan nafas terakhir pada hari kelahirannya ke-33 di Genting Highlands, sejurus selepas menghadiri majlis Anugerah ERA 2001.

Arwah meninggal dunia selepas rebah di pangkuan rakan-rakan sebaik keluar dari dewan.

Kehilangannya amat dirasakan oleh semua yang pernah mengenalinya secara dekat. Sahabat handai menyifatkan Zairee seorang yang ramah, murah dengan senyuman serta suka bersedekah.

Yussry Edoo (Yus Jambu)

Pada tanggal 30 November 2015, pemergian Yus daripada kumpulan lawak, Jambu telah mengejutkan rakyat Malaysia.

Beliau sempat membuat persembahan di Dataran Merdeka sebelum rakan baiknya, Tauke mengumumkan berita pemergian Yus Jambu di akaun Instagramnya.

Yus,39, dikatakan mengalami sesak nafas dan meninggal di Hospital Selayang pada pukul 12.30 pagi.

Izharuddin Shariff (Gitaris Crosstown)

Gitaris kumpulan Crosstown, Izharuddin Shariff, 55, meninggal dunia akibat serangan jantung sebaik selesai mengiringi persembahan Awie pada majlis penutupan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (Penbex) pada 2016.

Kejadian mengejutkan itu berlaku di Dataran Transformasi Usahawan di Kubang Menerong kira-kira jam 11 malam.

Izharuddin yang dikenali sebagai Ajan, dilaporkan tiba-tiba rebah di atas pentas ketika kumpulan itu mahu bergambar bersama Awie.

Beliau disahkan meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB).

Mohd Radzi Abdul Hamid (Vokalis Melissa)

Bekas penyanyi kumpulan rock Melissa, Ustaz Radzi meninggal dunia ketika menjayakan persembahan di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur jam 10.30 malam, 23 Disember 2018.

Ketika itu, Ustaz Radzi atau nama sebenarnya Mohd Radzi Abdul Hamid, 52, baharu sahaja tampil dengan lagu pertama berjudul Kami Mat Rock.

Namun selepas hanya beberapa saat di atas pentas, Allahyarham rebah dalam keadaan bersujud dan disahkan meninggal dunia akibat kekurangan oksigen oleh pasukan perubatan yang memberi bantuan.

Jenazah Allahyarham yang diiringi dua anaknya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Sungai Baru, Jitra Kedah untuk dikebumikan.

Kematian adalah antara perkara yang menjadi rahsia Allah SWT. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin. Al Fatihah. – MHE TV

Ruang komen