TINGGAL KENANGAN… Diana Rafar bersama arwah ibunya.

HAMPIR seminggu berlalu, pesanan arwah ibu kepada Diana Rafar iaitu Allahyarhamah Rasimah Abd. Rahman masih segar dalam ingatannya.

Sementelah Diana atau Adiana Abdul Rafar, 36, merupakan anak bongsu daripada enam beradik, tidak pelik jika dialah insan paling terkesan atas kehilangan yang dialaminya.

Menerusi muatan yang dikongsi pada laman Instagram miliknya hari ini, ternyata Diana begitu berat untuk menerima hakikat tersebut.

“Makin lama makin rindu, kadang-kadang terlupa… eh, mak dah takde ke?” ungkapnya pada ruangan kapsyen.

Bahkan, klip pendek beserta coretan ringkas luahan rasa hatinya yang turut dimuat naik mengundang rasa sebak para pengikutnya.

“Adik… adik dah makan? Perut tu jangan biar kosong, buat air makan dengan biskut,” tulis Diana yang terngiang-ngiang dengan titipan kasih ibunya.

Menurut Diana lagi, itulah antara pesanan yang sering diucapkan ibunya pada setiap pagi, tanpa pernah jemu sepanjang hayatnya.

Rata-rata, peminat dalam laman media sosialnya itu berasa sebak menonton dan membaca perkongsian yang dimuat naik dia kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Apapun, semoga Diana dan ahli keluarga yang lain tabah mengharungi kehidupan mendatang. – MHE TV

Iklan