Walaupun pernah meringkuk dalam penjara kerana kesalahan mencuri, ia seakan-akan tidak memberi pengajaran kepada seorang remaja apabila masih mengulangi perbuatan tersebut.

Remaja berusia 19 tahun yang dipanggil ‘Adik’ itu dibebaskan dari penjara sekitar dua bulan lalu namun sekali lagi ditahan polis di sekitar kawasan Bukit Tinggi, atas kesalahan melakukan pecah kereta di kawasan meletak kereta di sebuah pasar raya.

Dia yang memiliki empat rekod jenayah lampau ditahan sekitar pukul 12 tengah hari.

Memetik laporan Utusan Online, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, bertindak atas video kejadian yang tular, pihaknya telah menjalankan siasatan dan berjaya menahan dua individu di sekitar Bukit Tinggi.

Tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi dan menahan individu berusia 33 tahun dikenali sebagai ‘Burung’ yang mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Jelasnya, tangkapan kedua pula dilakukan pada pukul 12 tengah hari pada hari yang sama, dengan menahan seorang lagi remaja di sekitar kawasan Bukit Tinggi.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan tersebut tidak dikunci dan mereka mengambil beg yang mempunyai kasut kanak-kanak sahaja. Selain itu, kedua-dua individu ini mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

“Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua individu ini terlibat dengan kes pecah kereta sejak sebulan yang lalu. Malah, kedua-dua mereka mengaku terlibat dengan kes pecah cermin kereta dan curi barang,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MHE TV

Iklan