Impian seramai 10,000 penonton mahu menyaksikan konsert Twicelights in Kuala Lumpur, di Arena Axiata Bukit Jalil, akhirnya jadi kenyataan, semalam.

Keterujaan Once (gelaran peminat) malah sebilangannya sudah menunggu sejak dari pukul 10.00 pagi lagi, memuncak apabila lapan gadis pujaan hati mereka ini beraksi di depan mata.

Kali ini, mereka hanya berlapan iaitu Jihyo Momo, Jeongyeon, Jihyo, Nayeon, Chaeyoung, Dahyun, Sana dan Tzuyu. Sayangnya, Mina tidak hadir kerana masih belum pulih akibat gangguan kecemasan (anxiety) yang dialami.

Tepat pukul 4.30 petang, artis di bawah naungan JYP Entertainment ini membuka tirai konsert dengan lagu Stuck In My Head.

Suasana arena gamat apabila penonton ikut sama menyanyi lagu seperti Cheer Up, Touchdown, BDZ (Bulldozer) dan Yes or Yes.

Sejak debut empat tahun lalu, mereka berjaya mencipta fenomena menerusi dua album serta rekod cemerlang dengan 10 video muzik (yang mana setiap satunya) meraih lebih 10 juta tontonan.

Secara tidak langsung, Twice telah mengubat kekecewaan peminat KPop di seluruh dunia apabila senior mereka iaitu Miss A dan Wonder Girls dibubarkan beberapa tahun lalu.

Sebagai membalas budi atas sokongan peminat di sini, mereka terus menghiburkan penonton dengan lagu Dance The Night Away, After Moon, You In My Heart dan Sunset dan Heart Shaker.

previous arrow
next arrow
previous arrownext arrow
Slider

Menariknya, Twice membuktikan mereka punya ramai peminat lelaki kerana jelas sorakan garau ‘fan boy’ sepanjang konsert berlangsung umpama menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium.

Biarpun beberapa kali nyanyian lapan gadis cantik bak bidadari turun dari kayangan ini, kedengaran ‘ke laut’. Tapi pada peminat, itu normal.

Paling penting, Twice berjaya ‘mencairkan’ hati penonton dengan tarian penuh bertenaga serta aksi manja dan bersahaja mereka ketika di pentas.

Sementara mereka menukar baju, penantian Once diisi dengan acara permainan interaktif spontan yang dipaparkan pada layar di kedua-dua belah pentas. Acara itu berjaya kerana peminat memberikan respon yang baik.

Beberapa minit kemudian, Twice kembali mempersembahkan lagu seperti Likey, T.T, Like Ooh Ahh, What is Love dan Fancy.

Namun kerancakan suasana konsert bertukar hiba apabila semua anggota menangis selepas tersentuh dengan paparan sebuah video kejutan daripada peminat.

“Saya masih ingat, tahun lalu kami semua di bilik hotel dan sangat teruja untuk mengadakan konsert di sini.

“Kami terkejut kerana tiba-tiba mendapat berita konsert dibatalkan.

“Akhirnya hari ini dapat juga kami menghiburkan Once Malaysia. Terima kasih kerana sanggup menunggu selama setahun lagi untuk kami kembali ke sini,” kata Jihyo sambil mengesat air matanya.

Konsert anjuran IME Malaysia ini berakhir pada pukul 7 malam. – MHE TV

Iklan