Hiburan Trending Video

[VIDEO] Apa salahnya jadi penyanyi kalau dah berusia sekali pun? – Nazri Zain cuba nasib saingi BBNU

Berhasrat ingin mewarnai industri muzik negara, pendatang baharu yang tampil dengan debut berjudul Kamariah iaitu Nazri Zain tekad mencuba nasib bergelar penyanyi walaupun sedar kehadiran pesaing lain yang jauh lebih muda.

Bakal mencecah usia 37 tahun pada pertengahan 2019, Nazri atau Nazri Mohd. Zain @ Abdul Kadir menganggap umurnya itu sekadar angka dan berharap peminat tempatan menumpukan sepenuh perhatian terhadap bakat yang dimilikinya.

“Saya tak melihat tahap umur sebagai satu masalah untuk melangkah jauh dalam bidang ini kerana kebergantungan terhadap bakat seseorang itu lebih diutamakan.

“Jika penyanyi itu ada minat dan kemahuan untuk memajukan diri, rasanya tidak timbul isu lain yang boleh membantutkan keinginannya.

“Lagipun sebelum ini terdapat beberapa rancangan TV seperti Mentor Otai, Kilauan Emas dan Gegar Vaganza diterbitkan bagi golongan berusia,” katanya optimis.

Berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, Nazri yang sudah mendirikan rumah tangga pernah menghadiri uji bakat program realiti Mentor Otai yang diadakan dua tahun lalu.

Meskipun gagal mara ke peringkat seterusnya, usaha jejaka tersebut mendapat penghargaan daripada komposer Rosli Ahmad yang menghadiahkan single pertama buatnya.

“Kerancakan melodi dengan susunan muzik yang menarik dilihat antara kekuatan yang ingin saya tonjolkan.

“Pada masa sama, kewujudan penyanyi muda atau tua, junior atau senior akan lebih memeriahkan lapangan seni tanah air,” ujarnya.

Sementara itu, sebelum melangkahkan kaki mengikut arus perdana industri muzik tanah air, Nazri pada asalnya adalah penyanyi bagi sebuah kugiran yang dinamakan Aura Band.

“Setiap hujung minggu, saya dan ahli kumpulan yang lain akan berkumpul dan bermain muzik di samping memenuhi undangan di majlis-majlis keraian di sekitar Negeri Sembilan,” tambahnya. – MHE TV

Iklan
Ruang komen