Dek kerana rimas mendengar kokokan ayam pada setiap pagi, pasangan suami isteri dari Perancis memfailkan saman terhadap haiwan berkenaan, baru-baru ini.

Jean-Louis Biron dan Joella Andrieux merupakan pemilik sebuah pusat hiburan yang terletak di di Saint-Pierre-d’Oleron.

Bagaimanapun, mereka berdua mengambil keputusan menutup perniagaan itu selepas 15 tahun beroperasi dan lokasi premis berkenaan ditukar menjadi kediaman persendirian.

Awalnya, pasangan suami isteri itu menjalani kehidupan seperti biasa tanpa mengalami sebarang masalah.

Namun memasuki tahun 2017, Jean dan Joella mendakwa diganggu bunyi bising pada setiap pagi.

Waktu tidur mereka terganggu disebabkan bunyi kokokan ayam jantan yang diberi nama Maurice.

Sepanjang tempoh itu, suami isteri kerap bergaduh dengan pemilik ayam berkenaan, Corrine Fesseau.

Sejak 35 tahun menetap di kawasan itu, wanita warga emas ini menyifatkan bunyi kokokan ayam miliknya tidak ubah seperti jam loceng dan membantu mengejutkan para penduduk lain bangun daripada tidur.

Tetapi bagi pasangan suami isteri itu, mereka tidak peduli dengan alasan yang diberitahu oleh Corrine.

Bagi mereka, bunyi kokokan ayam itu mengganggu kehidupan seharian mereka sehinggakan pasangan ini nekad menyaman ayam tersebut.

Difahamkan, tindakan suami isteri membawa isu ini ke mahkamah telah menimbulkan rasa tidak senang para pemilik haiwan lain yang tinggal di sekitar Saint-Pierre-d’Oleron.

Ekoran itu, mereka dikatakan telah berkumpul beramai-ramai di hadapan mahkamah untuk memberi sokongan kepada Corrine dan Maurice.

Difahamkan, ketika sebutan kes dijalankan kedua-dua pihak tidak hadir ke mahkamah sebelum keputusan akhir akan dibacakan semula September nanti.- MHE TV

Sumber gambar: Evening Standard

Iklan