Hiburan Trending Video

[VIDEO] Baru tahu susahnya bergelar pelakon – Asyraf Roslee hargai setiap peluang yang hadir

Raff lahir daripada program pencarian bakat, @misterplanetnationmalaysia 2018.

Tampil menerusi video pendek bertemakan pesanan khidmat masyarakat terbitan MHE TV sempena kehadiran 14 Februari yang sering dikaitkan oleh kebanyakan orang sebagai Hari Kekasih, pendatang baharu, Asyraf Roslee, 25 atau mesra disapa sebagai Raff tidak sedikit pun memandang enteng atas pembabitannya itu.

Bergandingan dengan penyanyi remaja Fara Hezel dalam klip berkenaan, Raff menganggap setiap peluang yang hadir di depan mata perlu dihargai tanpa mengira pulangan dalam bentuk wang ringgit semata-mata.

“Sebagai pelakon yang baru bertatih, saya sedaya upaya ‘rembat’ apa sahaja peluang yang diberikan. Apabila ditawarkan untuk terbabit dalam klip video ini yang diterbitkan oleh sebuah organisasi media, tak mungkin saya akan lepaskan begitu sahaja.

“Apatah lagi, Fara sebagai pasangan kekasih saya adalah seorang gadis cantik yang namanya semakin meningkat naik. Tolak seketika soal wang, namun fikirkan kelebihan lain yang terbentang,” katanya yang lahir daripada program pencarian bakat,  Mister Planet Nation Malaysia 2018 (MPM 2018) itu.

Raff dan Fara bergandingan untuk klip video PSA terbitan MHE TV.

Mengulas lanjut, hampir dua tahun menjinakkan diri dalam bidang seni, ternyata bukan mudah untuk mengukuhkan nama selaku seorang pelakon.

“Mencari tapak itu tidaklah sesukar mana kerana kita perlu hadirkan diri ke sesi uji bakat yang diadakan dan buktikan kesungguhan serta minat.

“Namun sesudah mendapat peluang, nak membina dan mengukuhkan tapak itu yang susah. Banyak pengorbanan perlu dibuat,” kata pemuda berasal dari Segambut, Kuala Lumpur itu.

Foto oleh @blackpepperproduction dan baju tajaan @ua_butik.

Justeru, Raff berharap suatu hari nanti dia dapat mencapai cita-citanya untuk bergelar seorang pelakon disegani berbekalkan tunjuk ajar dan bimbingan semua pihak termasuk daripada A. Aida Talent & Management, rumah bakat yang menaungi karier seninya. – MHE TV

Iklan
Ruang komen
  Yong's Steamboat & Grill saji menu terbaik untuk warga Puncak Alam