Keadaan kesihatan Jebat Jayden yang mengalami sakit Urinary Tract Infection (UTI) atau jangkitan saluran kencing, membuatkan pelakon Sharnaaz Ahmad kini lebih memberi perhatian kepada anak lelakinya yang berusia lapan bulan itu.

Tidak pernah berniat untuk mencari publisiti dengan keadaan kesihatan anaknya, pelakon filem Juvana ini memberitahu, dia merasakan ramai kanak-kanak di luar sana yang keadaannya lebih teruk daripada Jebat.

“Saya tiada niat untuk menyembunyikan sakit Jebat tetapi saya rasa ramai lagi kanak-kanak di luar sana yang hadapi lebih teruk daripada ini. Bukan nak cari publisiti tapi saya tahu anak saya kuat, insya-Allah.

“Jadi tak perlulah saya nak cerita Jebat kena bedah itu ini semua kerana pada saya, ada yang lagi teruk yang memerlukan lebih perhatian,” jelas Sharnaaz.

Menurut Sharnaaz lagi, dia dan isteri, Noor Nabila mula mengetahui sakit tersebut ketika Jebat berumur enam bulan.

“Disebabkan Jebat selalu demam, kami bawa dia untuk pemeriksaan dan tak sangka dia kena jangkitan saluran kencing. Jadi bulan puasa ni, saya banyak habiskan masa di hospital kerana prosesnya mengambil masa.

“Jebat akan menjalani pembedahan pada Khamis ini dan semoga semuanya selamat. Hati saya sangat hancur melihatkan keadaan anak yang sakit macam ni dan terpaksa menghadapi semua proses rawatan. Tambahan pula, Jebat perlu membuat rawatan susulan sehingga dia berumur tiga tahun,” katanya. – MHE TV

Iklan