DISEBABKAN penampilan fizikal Ajak Shiro yang semakin kurus, pastinya menimbulkan pelbagai reaksi yang kurang enak didengar sehinggakan dia tampil membuat penjelasan.

Baru sahaja memenangi gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2018 pada Jumaat lalu, Ajak atau Mohd Hanaffi Razak, 33, menjelaskan puncanya kelihatan kurus adalah disebabkan tekanan kerja.

“Ya saya akui berat badan memang susut sedikit tetapi bukan disebabkan dadah.

“Ini disebabkan kesibukan kerja yang melampau dan atas faktor tersebut, saya dengan berat hati bersara sebagai deejay Hot FM.

“Dalam seminggu, saya bekerja setiap hari termasuk lima hari di konti dan pada hari Ahad saya perlu masuk studio untuk mengacarakan Melodi.

“Hanya hari Sabtu sahaja boleh dikatakan saya berehat. Itupun jika tiada apa-apa program lain,” jelas Ajak.

Selain mahu menumpukan perhatian terhadap keluarganya, keputusan tidak menyambung kontrak dengan Hot FM adalah kerana dia mahu mengembangkan bakat lakonannya.

“Sudah lama saya tidak terima atau terpaksa menolak tawaran berlakon kerana kepadatan jadual kerja.

“Jadi selepas ini saya harap dapat kembali ke set penggambaran drama atau filem untuk giatkan diri dalam bidang lakonan,” – tambahnya. – MHE TV

Iklan