Sudahlah menyamun, kemudian mencabul pula kehormatan seorang wanita.

Tindakan kurang ajar itu dilakukan sekumpulan empat lelaki dalam kejadian samun di sebuah hotel di Ayer Hitam, Johor pada pukul 5.45 pagi Rabu lalu.

Walau bagaimanapun, polis kini sudah menubuhkan pasukan khas bagi memburu suspek-suspek terlibat.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supreintenden Razali Mohd Tahir seperti dilaporkan Harian Metro.

Video kejadian tersebut yang tular memperlihatkan seorang wanita yang bertugas sebagai penjaga kaunter membuka pintu utama hotel selepas seorang suspek membunyikan loceng.

Beranggapan suspek mahu menginap di hotel itu, mangsa membuka pintu utama sebelum seorang lelaki masuk dan meluru ke arahnya.

Lelaki berkenaan kemudian mengacukan parang ke arah mangsa sebelum merentap rantai leher dan gelang emas.

Ketika kekalutan itu, dua lagi suspek masuk ke dalam premis hotel untuk bersama menyamun mangsa, manakala seorang lagi suspek menunggu di luar hotel.

Malah seorang daripada suspek turut mencabul mangsa wanita berkenaan sebelum melarikan diri. – MHE TV

Iklan