Tidak menolak jodoh jika ditakdirkan bernikah dengan wanita lebih tua atau janda, namun kongsi Da’i Syed Shah Iqmal, dia sebenarnya lebih senang jika bakal isterinya suatu hari nanti adalah seorang yang lebih muda atau sebaya sahaja.

Menjawab desas desus kononnya kini bercinta dengan bekas isteri penyanyi nasyid Hafiz Hamidun, Joy Revfa, Syed menjelaskan hubunganya dengan ahli perniagaan tersebut tidak lebih dari seorang rakan sahaja.

Menganggap Joy seperti seorang kakak, jelasnya hubungan baiknya dengan Joy bermula apabila dia menjadi tempat untuk wanita itu berkongsi masalah rumah tangganya dengan Hafiz.

“Saya pun anggap dia sebagai kakak saya, tiada apa-apa hubungan seperti diperkatakan orang kami sedang bercinta. Malah beza usia kami pun 10 tahun.

“Kami kenal satu sama lain ketika dia sedang berdepan konflik dengan bekas suami keduanya yang saya turut anggap seperti abang saya sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan pelancaran portal Dr. Irma di Shah Alam baru-baru ini.

Menolak dia mempunyai masalah dengan bekas suami Joy, kata Syed lagi sehingga ke saat ini juga hubunganya dengan Hafiz tidak ada masalah.

“Kami tidak ada masalah. Malah saya juga akan bertemu dengan dia dalam minggu depan,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai pendiriannya yang membawa gelaran Da’i, jelas Syed gelaran yang dimilikinya melalui sebuah program realiti tersebut tidak menyebabkan dia lari daripada dosa.

“Kami juga manusia biasa, gelaran yang saya miliki tidak bermakna saya suci daripada membuat dosa.

“Apa yang penting saya belajar untuk memperbaiki diri,” katanya. – MHE TV

Iklan