Kang Daniel telah mencuri perhatian dunia, sepantas kilat! Sejak dirai sebagai ‘pick nation’ oleh peminat di Korea dua tahun lalu, penyanyi berusia 23 tahun serta merta menjadi ‘international pick’.

Album debutnya berjudul Color On Me yang dilancarkan Julai lalu, mencipta rekod di tangga kedua dalam carta iTune dunia dan nombor satu dalam carta muzik di Korea selama 73 minggu.

Malam tadi, disaksikan kira-kira 4,000 penonton di Arena Axiata, Bukit Jalil, pemuda berasal dari Busan ini membuktikan mengapa dia berbaloi dijadikan pilihan utama oleh kalangan peminat muzik KPop.

Pada acara selama satu setengah jam itu, Daniel membuat Danity (gelaran peminat) ‘histeria’ dengan karisma nyanyian dan aksi tariannya menerusi lagu True The Night, Color dan What Are You Up To.

Semasa sesi interaksi, Daniel bijak mengambil hati penonton dengan sesekali dia berusaha bertutur dalam bahasa Melayu.

“Saya gembira kerana akhirnya dapat kembali lagi ke sini dan bertemu anda semua. Terima kasih atas sokongan kamu.

“Malam ini saya bukan saja mahu menghiburkan tetapi mahu menunjukkan kepada kalian diri saya dari sisi yang berbeza.

“Seperkara yang saya selalu ingat tentang Malaysia ialah menara berkembar Petronas (KLCC).

“Tetapi saya belum sempat lagi pergi dan bergambar di depan mercu tanda ikonik itu,” katanya.

Sepanjang segmen itu, suasana arena tambah meriah dek peminat yang berusaha ‘mencuri’ perhatian Daniel yang tidak henti-henti berteriak memanggil nama penyanyi pujaan mereka itu.

Tapi teruknya kerana hos dikenali sebagai Min seperti tidak membuat ‘homework’ tentang Daniel. Dia sepatutnya tidak perlu pun berbahasa Mandarin kerana artis itu bukannya berasal dari tanah besar China.

Sebenarnya, tidak mengapa jika dia hanya berbahasa Inggeris kerana Daniel masih boleh memahami. Malah beberapa kali penyanyi itu menjawab soalan dalam bahasa Inggeris.

Lebih menjengkelkan, dia mengajak Daniel mengimbas semula pengalaman pada acara bertemu peminat di Taipei. Apa relevannya beria-ria bertanya tentang negara lain ketika artis itu berada di Kuala Lumpur?

Rata-rata peminat panas hati dan menganggap soalan hos berkenaan tidak bijak dan lebih teruk, dia telah membazirkan ‘masa emas dan eksklusif’ Danity Malaysia bersama Daniel ketika itu.

Mujur, segmen permainan interaktif setidak-tidaknya dapat menyejukkan kembali hati Danity tatkala menyaksikan gelagat Daniel menyahut beberapa cabaran seperti acara menguji kecerdasan dan menari mengikut rentak muzik lebih pantas dari muzik asal.

Sebelum meninggalkan pentas, dia menghiburkan penonton dengan dua lagu Sorry (nyanyian asal Justin Bieber) dan I Hope.

Acara Kang Daniel Color On Me Fanmeeting in Kuala Lumpur anjuran Unusual Entertainment ini berakhir pada pukul 9 malam.

Kang Daniel, mencipta fenomena selepas menjadi pilihan pertama peminat di negaranya menerusi pertandingan realiti Produce 101. Bersama 10 lagi anggota, dia memulakan kerjaya sebagai kumpulan Wanna One.

Selepas kumpulan itu dibubarkan tahun lalu, dia berdepan kontroversi dengan bekas agensi, LM Entertainment berhubung isu kontrak. Ekoran itu, aktiviti solonya tertunda selama enam bulan hinggalah dia berjaya mewujudkan agensi pengurusan sendiri diberi nama Konnect Entertainment.

Walaupun isu itu sudah berakhir, namun Daniel dikatakan masih ‘digam’ beberapa stesen televisyen di sana berikutan dia kurang tampil menerusi persembahan ‘live’ dalam program-program muzik.

Pun begitu, dia mampu mempertahankan populariti sekaligus berada di kedudukan keempat dalam senarai 40 Selebriti Berpengaruh di Korea.

Januari lalu, Guinness World Records mengumumkan pemuda ini sebagai individu yang terpantas meraih 1 juta pengikut Instagram dalam masa 11 jam 36 minit.

Pada awal bulan lalu, nama Daniel menjadi trending di Twitter ekoran khabar dia dikatakan bercinta Jihyo (Twice).

Kredit foto : MyKpopHuntress

Iklan