Nemo merupakan vokalis Cherpen sejak ditubuhkan pada 2013.

Rabu lalu, bintang realiti program Mentor Milenia 2016, Zetty Rashid menerusi laman Instagram miliknya ‘mengamuk’ ekoran tularnya sekeping foto memperlihatkan kekasihnya sedang bercumbuan dengan seorang gadis lain.

Lelaki terbabit yang juga vokalis kumpulan Cherpen iaitu Nemo atau nama penuhnya Nasrulhaq Shahdan, 28, menjelaskan, semua yang berlaku berpunca daripada salah faham.

“Foto yang tersebar itu sebenarnya adalah sedutan klip video lagu terbaharu Cherpen Band berjudul Esok.

“Sementara gadis yang kelihatan dalam foto itu merupakan model bagi muzik video lagu tersebut bernama Deeana Shazleen.

“Zetty mulanya tidak tahu menahu mengenai babak yang terdapat di dalam klip video ini sebab itulah pada awalnya memang berlaku sedikit salah faham.

Nemo dan Zetty mula menjalin hubungan sejak setahun lalu.

“Namun setelah dia sendiri menontonnya, barulah permasalahan ini dapat diselesaikan secara baik,” jelasnya yang mula menjalin hubungan dengan Zetty atau Nur Izzati Mohd. Rashid, 26, sejak setahun lalu.

Cherpen tampil memperkenalkan single pertamanya berjudul Esok yang diterbitkan oleh LunaSuara.

Mengulas lagu Esok yang dicipta sepenuhnya oleh anggota Cherpen Band iaitu Syahir itu, Nemo memberitahu bahawa liriknya mengisahkan tentang peluang kedua dalam hidup seseorang.

Katanya, setiap daripada kita tidak lari daripada membuat silap dan sewajarnya memperoleh peluang ke sekian kalinya untuk memperbetulkan kesilapan dilakukan.

“Biarpun selama ini lagu nyanyian kami lebih dikenali berbanding nama kugiran kami, namun saya optimis,” ujarnya.

Terdahulu, lagu-lagu nyanyian Cherpen Band seperti Kali Ini dan Pasti pernah popular sebagai lagu tema drama-drama Melayu yang menghiasi slot Akasia iaitu Sayangku Kapten Mukhriz dan Kekasih Paksa Rela. – MHE TV

Iklan