Karya Sampai Bila diramal bakal memahat rekod kemenangan Misha selaku juara AJL 33.

Menariknya, empat finalis bertanding pada Ahad ini menerusi acara kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) pernah memenangi trofi Vokal Terbaik.

Kemaraan Misha Omar ke pentas berprestij itu menerusi karya Sampai Bila dijangka bakal mengulangi sejarah AJL 18 dan AJL 19 apabila trofi idaman ramai itu kemas berada di dalam genggamannya selama dua tahun berturut-turut.

Justeru, tidak mustahil sekali lagi anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan terbabit naik ke atas pentas untuk menerima pengiktirafan serupa.

Apatah lagi, keampuhan adunan muzik serta melodi yang dipertaruhkan dalam lagu ciptaan Sharol Paul, Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri itu turut dilihat layak bergelar calon juara AJL 33.

Selain rekod dua kali namanya dalam kategori berkenaan menerusi Bunga-Bunga Cinta (2003) dan Pulangkan (2004), pastinya pencabar paling hebat Misha adalah Dayang Nurfaizah dengan kemenangan hatrik penuh gaya.

Pada 2014, episod kegemilangan Dayang dimulakan usai menyampaikan karya Di Pintu Syurga ketika AJL 29, diikuti gubahan Tak Pernah Menyerah (AJL 28) dan terakhir adalah dendangan Lelaki Teragung, lagu terbaik keseluruhan AJL 31.

Bezanya kali ini, Dayang selaku juara AJL 31 bakal bersatu jiwa dan berpadu raga dengan juara AJL 32, Hael Husaini dalam lagu popular mereka, Haram ciptaan Hael bersama rakan komposer, Ezra Kong.

Di samping dua finalis hebat berkenaan, pastinya barisan penyanyi lain mengakui kehebatan lawan bagi menambah kesengitan edisi ini adalah kerana munculnya kembali kelibat pemilik vokal bernada tinggi, Jaclyn Victor.

Menyamai rekod Misha yang dijulang dua kali dek kredibiliti vokalnya, hadirnya Jaclyn tahun ini diiringi kelunakan suara Siti Nordiana atau Nana bagi menyempurnakan teknik keharmonian duo menerusi taruhan Nisan Cinta.

Keupayaan vokal hebat Nana dibuktikan dalam siri persembahan pentas yang sering dijayakannya dan ternyata gandingan cocok pasangan duet ini tak boleh diketepikan.

Sementara itu, layak menerusi lagu Kau Pun Sama, seorang lagi pemenang kategori vokal edisi terdahulu adalah Syamel Aqmal yang memperolehnya pada tahun lalu hasil paduan suara bersama duo lagu Erti Cinta iaitu Erni Zakri.

Biarpun sukar memastikan pemilik mutlak trofi bermakna itu selagi belum tiba waktunya, Misha optimis turut menyenaraikan finalis duet, Amylea Azizan dan Kaer Azami kerana menyifatkan lagu Tak Pernah Hilang adalah senjata terbaik.

Mungkin kelihatan seperti pesaing underdog dari sudut pesona dan aura berbanding populariti finalis lain, namun Misha yakin, keserasian vokal Amylea dan Kaer mampu melonjak jauh ke tahap paling tinggi untuk mencipta sejarah.

“Vokal mereka memang bagus, usah disangkal lagi. Malah, komposisi karya dinyanyikan mereka amat menarik untuk diteroka lebih dalam, sekali gus menjadikan duo itu antara yang harus diberi perhatian.

“Suara dinamik milik mereka berserta teknik kawalan yang kemas membuatkan nyanyian kedua-duanya kedengaran lebih bervariasi dan tidak membosankan,” tambahnya.

Di samping lima penyertaan di atas, finalis lain yang dipercayai turut berikan saingan sengit kelak adalah Siti Sarah yang kian dikenali dengan lagu berhantu nyanyiannya berjudul Semakin.

Trio De Fam akan menggalas amanah diberikan Altimet menerusi karya Bunga, yang turut berkongsi judul sama dengan lagu nyanyian Ara Johari.

Turut bertanding Sufian Suhaimi yang cuba memastikan kewibawaan Di Matamu seiring penghormatan diperoleh daripada Malaysia Book of Records atas kejayaan video muzik lagu berkenaan mencatat jumlah tontonan paling tinggi di Malaysia.

Khai Bahar pula mempertaruhkan Luluh sementara Hael turut layak secara solo mempersembahkan lagu Hajat, selain gabungan Haqiem Rusli dan penyanyi rap Aman Ra dalam naskhah berunsur hip hop, Jatuh Bangun. – MHE TV

Iklan