Jenayah Trending Video

[VIDEO] Episod 1 Al Maunah: Menyingkap tragedi berdarah Bukit Jenalik

Sudah 19 tahun berlalu, mungkin ramai yang sudah terlupa akan tragedi hitam Al- Maunah yang pernah menggemparkan negara satu ketika dahulu.

Namun, bagi Sarjan Detektif (B) Mohd Shah Ahmad, 67, tragedi yang hampir meragut nyawanya itu tidak pernah luput dari ingatan.

Kisah tragedi berdarah ini berlaku pada tahun 2000 apabila sebuah kumpulan yang bergelar Al- Maunah bertindak untuk melancarkan perang semata-mata ingin menggulingkan kerajaan Malaysia.

Al- Maunah pada asalnya merupakan sebuah pertubuhan persilatan sebelum perjuangannya terpesong menjadi sebuah organisasi pengganas militan.
Kumpulan ini diketuai oleh Mohd Amin Mohd Razali yang merupakan pemimpin utama, termasuk seorang pegawai Tentera Darat Malaysia yang berpangkat Mejar.

Pada subuh bertarikh 2 Julai 2000, kumpulan ini telah berjaya menggunakan tipu helah dan muslihatnya dengan berpakaian pegawai kanan tentera bersama kenderaan tentera palsu masuk ke Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Gerik, Perak. kononnya untuk melakukan pemeriksaan mengejut

Di sana, mereka berjaya memperdayakan anggota tentera untuk melakukan pemeriksaan stor senjata sebelum melarikan sejumlah besar senjata api iaitu 97 laras raifal M16, dua laras raifal Steyr AUG, empat senjata Mesingan Kegunaan Am (GPMG), enam laras mesingan ringan, lima pelancar bom tangan M203, 182 kelopak M16, lapan laras tambahan mesingan kegunaan am, tiga laras tambahan mesingan ringan, 26 bilah pisau benet, 9,095 butir peluru berkaliber 5.56mm dan 60 butir kartun peluru bom tangan berkaliber 40mm.

Selepas melakukan rompakan bersama 14 orang pengikutnya, Mohd. Amin dan 11 orang anggota lain Al-Maunah mula ‘berkubu’ di Bukit Jenalik, Sauk Perak.

Tidak lama selepas rompakan, pihak polis menerima laporan orang awam mengatakan terdengar bunyi tembakan dari atas Bukit Jenalik.

Berdasarkan aduan itu, polis telah menghantar anggotanya untuk menyiasat bunyi tembakan tersebut samada adakah berpunca daripada pihak pengganas atau latihan pihak tentera.

Anggota terawal yang diarahkan menyiasat ialah Sarjan Detektif Mohd Shah dan Detektif Koperal R. Sanghadevan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, yang berkhidmat dalam Cawangan Khas PDRM.

Mohd Amin, mengetuai kumpulan Al Maunah untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Namun, ketika melaksanakan tugasan tersebut, Mohd Shah dan rakannya Detektif R. Sanghadevan telah ditawan dan dijadikan tebusan.

Selain mereka, pihak militan turut menawan seorang orang awam, Jaafar Puteh manakala seorang lagi anggota keselamatan daripada komando Grup Gerak Khas, Truper Matthews anak Medan ditawan ketika masuk ketika ingin menyelamatkan tawanan.

Di sinilah bermula tragedi berdarah itu. Truper Matthews dan Kopral R. Sanghadevan telah terkorban apabila dibunuh secara kejam semasa menjadi tawanan kumpulan tersebut.

Pembunuhan itu disaksikan sendiri oleh Mohd Shah dan Jaafar Puteh semasa menjadi tebusan.

Bagaimanapun, Mohd Shah dan Jaafar Puteh terselamat daripada maut apabila kumpulan ini bersetuju menyerah diri setelah rundingan dilakukan oleh komander Tentera Darat Malaysia ketika itu, Leftenan Jeneral Zaini Mohd Said dan ASP Abd Razak bin Mohd Yusoff dari pasukan elit 69 Komando PGK PDRM.

Namun beberapa tahun selepas diselamatkan, Jaafar Puteh telah meninggal dunia. Kini hanya Detektif (B) Mohd Shah yang menjadi satu-satunya saksi yang masih hidup menyaksikan peristiwa berdarah tersebut.

Ikuti perkongsian pengalaman ngeri Mohd Shah semasa menjadi tawanan dan menyaksikan bagaimana anggota keselamatan lain dibunuh kejam dalam tragedi berdarah Bukit Jenalik kepada MHE TV.

Ruang komen