Hiburan Trending Video

[VIDEO] Hampir 13 tahun dipenjarakan, M. Sani reda diuji Tuhan

SUATU ketika, Juara Bintang RTM 1971 ini pernah didakwa atas satu kesalahan jenayah sehingga menerima hukuman di Penjara Sungai Buluh, Selangor.

Setelah lebih setahun dia keluar dari penjara (Disember 2017), penyanyi yang pernah terkenal dengan lagu Kerna Senyum Ku Terpikat, Rindu Hatiku Tidak Terkira dan Sedangkan Lidah Lagi Tergigit itu susah benar hendak dicari pihak media.

MHE bagaimanapun bertuah kerana kami dibantu oleh Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Datuk DJ Dave.

Sewaktu M. Sani hadir ke pejabat yayasan tersebut, MHE TV berpeluang bertentang mata dengan penyanyi bersuara merdu ini.

“Saya sudah dihukum dari sudut undang-undang, saya harap masyarakat tidak lagi terus menghukum saya,” katanya, dalam pertemuan eksklusif dengan MHE TV itu.

Dalam perbualan itu, M. Sani kelihatan sangat tenang. Malah, dia juga secara jujur bercerita mengenai ‘ujian’ yang maha berat yang pernah dilalui.

Dengan senyuman yang cukup ikhlas M. Sani memberitahu bahawa penjara, bukanlah satu tempat yang membawa ‘celaka’ kepada dirinya.

Sebaliknya selama tempoh hampir 13 tahun di situ, dia menjadi seorang manusia yang tahu bersyukur dan lebih dekat dengan Allah SWT.

“Allah memilih saya untuk ke satu tempat yang menjauhkan kita dari perbuatan dosa. Allah memberikan saya  ujian ini (dipenjara) kerana tahu saya mampu melaluinya,” katanya.

M. Sani mempunyai lapan anak hasil daripada dua pernikahannya. -MHE TV

Ruang komen