Trending Video

[VIDEO] Hebat! kanak-kanak 10 tahun dilantik jadi bilal masjid

Sejuk perut ibu mengandung. Mungkin itu ayat sesuai untuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun apabila telah dilantik sebagai bilal sebuah masjid di Perak.

Muhammad Irfan Iskandar, pelajar darjah empat Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, Lekir Perak dilantik sebagai bilal di Masjid Al – Khairiah, Batu 14, Setiawan sejak Julai lalu.
Bagi Irfan, dengan pelantikkan itu impiannya selama ini sudah tertunai.

“Saya seronok sangat. Memang dari dulu saya teringin nak azan di masjid ni,” ujarnya yang gembira.

Katanya, dia mempelajari cara melaungkan azan dengan guru agama di sekolah agama Al – Khairiah selain melalui You Tube.

Selain berkebolehan melaungkan azan, Irfan turut bercita-cita menjadi seorang imam apabila besar kelak.

“Saya dah biasa jadi imam solat asar dekat sekolah agama setiap kali waktu solat. Memang teringin nak jadi imam bila besar nanti,” ceritanya kepada MHE TV.

Bagi pengerusi masjid Al- Khairiah, Othman Bin Abdul Mutalib, pelantikan Irfan sebagai bilal dibuat setelah mendapat persetujuan ahli jawatankuasa masjid berdasarkan keterampilan, kebolehan dan keberanian yang ada pada dirinya.

“Irfan tak seperti kanak-kanak lain. Dia berani ke depan. Mulanya dia sendiri tawarkan diri untuk laungkan azan. Bila tahu ini keinginannya, kami bagi peluang. Tak sangka dia mampu melaungkan azan dengan suara yang sedap dan merdu,” kata Othman.

Lantaran itu, pihaknya sepakat melantik Irfan sebagai bilal pelapis generasi muda di kampung tersebut. Pihak masjid turut menghantar Irfan menghadiri kurus bagi menambah pengetahuannya dalam tugas sebagai bilal.

“Dari seratus lebih peserta seluruh negeri, dia bersama empat orang lagi terpilih untuk memperdengarkan azan dalam kurus yang berlangsung di masjid Raja Alang, Kampung Dato Sri Kamaruddin,” ujar Othman.

Sebagai menghargai sumbangannya, pada mulanya Irfan diberi saguhati sebanyak RM 50 sebulan sebelum dinaikkan kepada seratus apabila dia menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Bayaran tak seberapa ini sebagai menghargai sumbangannya kepada masjid ini,” jelas Othman.

Tambah Othman lagi, sekiranya tiada halangan, Irfan akan memulakan tugasnya pada waktu Maghrib dan Isyak selain pada hari cuti sekolah apabila dia datang berjemaah ke masjid.

Rosli Rashid, 40, bapa kepada Irfan, sangat terharu dengan pelantikan anaknya itu. Baginya ia merupakan satu penghormatan buat mereka sekeluarga.

“Terkejut bila diberitahu pengerusi masjid yang mereka nak lantik Irfan sebagai bilal. Sudah itu kehendak mereka dan ia perkara baik, saya bersetuju. Lagipun pihak masjid hargai kelebihan yang ada pada anak saya itu,” katanya.

Mengimbas semula bagaimana anak keduanya ditawarkan jawatan bilal, kata Rosli ia memang menjadi impian Irfan sejak kecil lagi. Hampir setiap hari anaknya berlatih melaungkan azan di rumah.

“Sebab minat, dia belajar sendiri dari You Tube selain belajar di sekolah agama. Kemudian, dia beritahu saya nak azan di masjid. Memang dia teringin sangat. Tapi saya minta dia bersabar sebab sudah ada bilal tetap yang bertugas,” kata Rosli.

Impian Irfan akhirnya tertunai apabila seorang rakannya yang juga bilal terdengar Irfan mengalunkan bacaan ayat- ayat suci a l- Quran ketika bertandang ke rumahnya.

“Rakan saya seorang bilal. Bila dengar Irfan mengaji, dia kata suara Irfan sedap. Kalau mengaji sedap, mesti boleh azan. Bila saya beritahu memang itu impiannya, dia bagi peluang. Dari situlah impian anak saya tertunai sebelum dilantik sebagai bilal,” cerita Rosli. – MHE TV.

Ruang komen