Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi dengan meninggalkan pelbagai catatan peristiwa dalam arena hiburan, sama ada bersejarah, kejayaan, tragedi dan tidak kurang juga sensasi dan kontroversi.

Antara isu-isu yang panas dan menjadi perhatian ramai dalam garis masa 2018 adalah:

Farid Kamil ditahan polis

Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari ditahan selepas dipercayai menampar seorang anggota polis di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 11 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, selebriti berusia 36 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut di kaunter aduan Balai Polis Kota Damansara.

Setakat ini, kes Farid masih dalam perbicaraan dan dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret termasuk empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Elfira Loy dan Sufian Suhaimi putus tunang

Pelakon kecil molek, Elfira Loy mula menjadi perhatian apabila kisah putus tunangnya Februari lalu bersama penyanyi, Sufian Suhaimi menjadi bualan hangat di media.

Malah alasan ibunya mengatakan punca pertunangan itu terputus adalah disebabkan Sufian gagal menunaikan beberapa janji, antaranya menghafal surah Al-Mulk sebelum tarikh pernikahan menjadikan nama Elfira hangat sejak awal tahun ini.

Ekora  itu, Elfira kerap menjadi topik utama dalam ruangan gosip di Internet. Elfira turut dikaitkan dengan seorang usawahan yang dikenali sebagai Asyraff Mazlan apabila tersebarnya gambar keakraban mereka ketika itu.

Pada 2 September lalu, sekali lagi Elfira menjadi perhatian apabila dia melangsungkan pertunangan bersama seorang lelaki bernama Faris K Anuar dan dijangka akan melangsungkan pernikahan pada Januari depan.

Ude Wahid ceraikan isteri pertama

Kisah Intan Saleh, Ude Wahid dan Izreen Azminda mula menjadi perbualan apabila pernikahan rahsia antara Ude dan Izreen terbongkar pada Ogos 2017.

Namun, pada awal tahun 2018 nama mereka sekali lagi menjadi perhatian setelah Ude membuat keputusan untuk menceraikan isteri pertamanya, Intan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Mac lalu.

Rata-rata netizen mengecam tindakan Ude dan bersimpati dengan nasib yang menimpa Intan. Intan mendapat sokongan yang kuat bukan sahaja daripada keluarga, tetapi juga daripada beberapa orang artis popular termasuk Rita Rudaini.

Walau bagaimanapun, Intan tersilap langkah apabila bertindak membuka tudungnya untuk menyertai satu pertandingan tarian yang diadakan pada Oktober lalu.

Biarpun ada yang mengecam tindakannya, ia tidak mematahkan semangat Intan untuk mencari rezeki sebagai instafamous yang popular.

Neelofa lancar tudung di Zouk

Kisah pelancaran tudung Be Lofa di kelab malam Zouk pada Februari lalu juga menjadi satu kontroversi besar.

Tindakan Neelofa itu dikatakan telah memberi gambaran negatif terhadap wanita Muslimah yang bertudung dan juga secara tidak langsung boleh menjatuhkan kesucian agama Islam itu sendiri.

Malah, isu ini turut menjadi perhatian mufti dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Fathia hilang kawalan, sebar cerita di laman sosial

Kalau sebut nama Fathia Latiff, sudah tentu ramai tahu apa yang terjadi dengan dirinya sepanjang tahun 2018 ini.

Pelakon Ariana Rose ini seakan hilang pedoman apabila dia kerap kali melakukan pengakuan berani mati secara ‘live’ di laman sosial Instagram.

Malah pada Ogos lalu, Fathia turut mengheret penyanyi muda, Ismail Izzani dalam kontroversi yang diciptanya.

Fathia menerusi laman Instagram telah menyebarkan gambar aksi mesra Ismail bersama sahabatnya, Zarina Anjoulie di dalam sebuah kelab malam.

Jelas Fathia dia sengaja berbuat demikian kerana Ismail dan rakannya dikatakan tidak membayar bil hotel.

Selain itu, Fathia turut mendedahkan hutang bekas kekasihnya, Aiman Hakim Ridza yang dikatakan masih belum dibayar.

Suami Ziana Zain pukul anak

Suami kepada penyanyi popular, Ziana Zain iaitu  Armin Zaharin didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, pada 6 Mac, atas tuduhan mencederakan anak lelakinya, pada 25 Februari.

Kes ini menjadi perbincangan hangat berikutan sebelum ini tiada sebarang khabar angin yang mengatakan keluarga Ziana Zain dilanda apa-apa masalah.

Perkahwinan mereka selama 20 tahun secara rasminya berakhir apabila Armin melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pada 12 Julai 2018

Aishah dakwa ditipu Datuk Seri  Vida!

Pergaduhan antara penyanyi popular, Aishah dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida berlaku apabila penyanyi itu mendakwa menerima barang kemas bernilai RM80,000  daripada usahawan tersebut yang didapati palsu.

Kemelut itu bermula pada Ogos 2018 dan ia berpanjangan apabila Vida tidak mengakui perkara terbabit dan memberi Aishah tempoh tujuh hari dan perlu penuhi tiga tuntutan.

Aishah perlu meminta maaf, perlu bersemuka dengannya dan memadamkan post-post berkaitan perkara itu dilaman sosial.

Sehingga penghujung 2018 ini, kes tersebut belum dapat diselesaikan. Jadi kita tunggu sajalah yer!

Uqasha ditahan miliki Eramin 5

Pelakon cantik, Uqasha Senrose ditangkap pada 5 Mei lepas dalam keadaan mabuk dan dikatakan memiliki pil emarin 5 di dalam beg tangannya.

Kisahnya bermula apabila Uqasha terlibat dalam satu kemalangan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan polis telah menjumpai pil emarin 5 terbabit, namun pemeriksaan urin mendapati Uqasha bebas daripada sebarang pengambilan dadah.

Haqiem Rusli gimik  ‘tekanan perasaan’

Nama penyanyi Haqiem Rusli tiba-tiba hangat Julai lalu selepas didakwa menggunakan gimik tekanan perasaan untuk mempromosikan single terbaharunya.

Bukan sahaja menerima kecaman netizen, malah rakan artis juga tidak ketinggalan meluahkan pendapat terhadap tindakan sedemikian yang dianggap tidak sepatutnya dilakukan.

Haqiem kemudiannya mengadakan sidang media sekali gus menafikan kenyataan tersebut sekadar gimik, sebaliknya mengakui mengalami mild depression yang bermula kira-kira setahun lalu.

Video lucah Syafiq Kyle dan Mira

Mei lalu, pengguna Twitter mula membicarakan video lucah mirip pelakon Syafiq Kyle selepas ia tersebar menerusi laman sosial itu.

Menerusi video tersebut, ia menyaksikan lelaki berkenaan sedang berbual tentang perkara yang tidak senonoh selain mengajak wanita itu untuk melakukan hubungan seks sekiranya mereka berjumpa.

Video berdurasi kira-kira dua minit itu mula tersebar dan menjadi perbincangan hangat termasuklah ada pihak yang berhasrat menjual versi penuh kepada netizen.

Terdapat pemilik akaun Instagram turut mendakwa memiliki dua lagi video sambungan dan menawarkan untuk dijual kepada sesiapa yang berminat dengan harga RM20.00.

Namun bagi Syafiq Kyle terpulang kepada orang lain untuk membuat andaian. – MHE TV

Iklan