Jamal dan Wany saling berharap dapat digandingkan dalam sebuah lagu.

BINTANG legenda tersohor tanah air, Datuk Jamal Abdillah, 59, mengakui sedang menunggu waktu yang sesuai untuk melamar penyanyi wanita popular tempatan, Wany Hasrita, 26, sebagai pasangan duetnya dalam sebuah lagu kelak.

Mendedahkan hal sebenar, Jamal yang bakal menjayakan Konsert Duo Legenda pada Disember ini berkata, dia telah mencadangkan nama Wany sebagai artis undangan dalam konsert berkenaan tetapi terpaksa digugurkan atas sebab tertentu.

“Bagaimanapun, saya memang menunggu masa terbaik untuk mengadakan kolaborasi dengan Wany memandangkan vokalnya yang begitu memikat hati.

“Pada masa yang sama, Wany juga punyai personaliti menarik sebagai seorang penyanyi dan dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh.

“Sejujurnya, sudah lama saya perhatikannya sejak mengetahui terdapat beberapa buah lagu nyanyian saya dinyanyikannya semula di YouTube,” akui Jamal.

Jamal berkata demikian sewaktu sidang akhbar konsert berkenaan yang akan menyaksikannya berganding bahu dengan Datuk M. Nasir bermula dari 20 hingga 23 Disember hadapan.

Selain dua bintang legenda itu, konsert diterbitkan oleh BinJamal Event itu turut menampilkan penyanyi kelahiran Australia, Cassidy Anderson sebagai artis undangan. – MHE TV

habis

Iklan