Tidak menafikan kontroversi pergaduhan yang melibatkan dia dan Datin Umie Aida sebagai satu titik hitam dalam hidupnya, namun bagi Erra Fazira itu tidak bermakna dia kini keseorangan tanpa rakan rakan lain di sisi.

Tidak mahu terus mengulas apa yang berlaku, bagi Erra, pada saat ini dia lebih senang sekiranya dapat memberi fokus kepada kehidupan masa depan yang lebih baik.

“Saya pilih untuk berdiam diri. Bagaimanapun saya tidak nafikan apa yang berlaku ini sebagai satu titik hitam dalam kehidupan saya.

“Alhamdulillah, saya tidak keseorangan,”katanya ringkas ketika di tanya mengenai kehidupan tanpa rakan-rakan di sisi.

Sementara itu ketika peminat di luar sana terus mewujudkan sentimen berbeza dalam memberi sokongan kepada dirinya, Erra dengan rendah hati meminta agar peminatnya tidak terus mewujudkan keadaan sukar buat dirinya.

“Tiada istilah “team Erra” atau apa- apa “team”.

“Apa yang penting benda baik kita ikut dan benda tidak baik elakkan,” katanya lagi.

Ditanya sama ada ini adalah kontroversi paling hebat buat dirinya sepanjang bergelar selebriti, Erra bagaimanapun memberi peluang buat peminat menilainya sendiri.

“Susah hendak saya katakan, mungkin anda ada pandangan sendiri.

“Tetapi setiap fasa itu ada tahap kesusahannya yang tersendiri,”tambahnya.

Perang dingin antara dua pelakon popular itu mula diperkatakan apabila Umie memuat naik luahan hati mendakwa dikhianati sahabat baiknya sendiri.

Bermula dari situ peminat mula berkumpul dalam laman sosial dua selebriti ini dalam memberikan sokongan.

Selepas beberapa hari Erra,45, mengambil jalan berani untuk tampil memohon maaf sekali gus mengakui dia adalah rakan yang dimaksudkan Umie. – MHE TV

Iklan