SESUDAH menceburkan diri dalam bidang lakonan menerusi beberapa buah drama termasuk Isteri Bukan Untuk Disewa, pelakon baharu, Razman Mahyuddin, 25, mengakui dia masih melakukan pelbagai kerja rencam di kampung halamannya, Ipoh, Perak.

Menerusi muatan video yang dimuat naik pada laman Instagram miliknya, bakat muda yang kelahiran program realiti Hero Remaja 2017/2018 itu memberitahu, jika tidak terbabit dengan sebarang penggambaran, dia mengambil upah mencuci rumah.

“Beginilah kehidupan saya di kampung halaman andai tiada penggambaran. Saya buat kerja part time untuk isi masa lapang. Daripada buang masa, lebih baik saya cari tebalkan poket dengan pendapatan sampingan asalkan kerja itu halal,” ujarnya.

Apabila disoal perasaan dialaminya ketika berbuat demikian, pemuda hitam manis itu menjawab, “Kenapa nak malu cari rezeki yang halal?”

Dalam pada itu, Razman sempat berpesan, jika ada klien yang berminat menggunakan khidmatnya untuk mencuci dan mengemas rumah, boleh tinggalkan pesanan dalam peti mesej Instagram miliknya, @razman_mahayuddin. – MHE TV

Iklan