Menghimpunkan keluarga besar daripada satu keturunan membabitkan beberapa generasi bukan mudah kerana ia memerlukan perancangan teliti untuk menjayakannya.

Namun, berkat kesabaran dan kesungguhan jawatankuasa pengelola, lebih 700 waris Haji Arshad dan Sawo yang menetap di merata negeri di seluruh negara berjaya dikumpulkan dalam perhimpunan keluarga di Kampung Talang, Kuala Pilah, semalam.

Pengerusi program, Muhammad Taib berkata, program yang mengambil masa dua bulan untuk dijayakan itu bertujuan menyatukan semua generasi ke-6 keturunan Haji Arshad dan Sawo supaya hubungan silaturahim menjadi lebih erat.

“Tujuannya untuk mengeratkan silaturahim antara keluarga.

“Keduanya, kita nak generasi anak-anak, cucu- cucu tahu siapa dia, dari mana asal dan keturunan dia,” katanya.

Tambahnya, jika program seperti ini tidak diadakan, sudah tentu generasi keturunan tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak mengetahui susur galur arwah datuk mereka yang berasal dari Minangkabau.

Menurut Muhammad Taib lagi, ‘Himpunan Suku Seri Lemak Minangkabau’ semalam itu merupakan perhimpunan keluarga yang keempat diadakan di mana, yang pertama sekitar 1950-an, kemudian pada 1976, dan ketiga pada tahun 2006. – MHE TV

Iklan