Hari ini, seorang individu memperkenalkan diri sebagai Haziq Aziz tampil membuat pengakuan bersumpah susulan rakaman video intim seorang menteri kabinet, semalam.

Menerusi perkongsian video di YouTube, Haziq mengaku dirinya adalah individu bersama menteri berkenaan.

“Video tersebut telah diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei semasa pilihan raya di Sandakan, Sabah,” jelasnya.

Lelaki berkaca mata dan berbaju T berwarna hitam menjelaskan, rakaman tersebut diambil dalam bilik menteri berkenaan di sebuah hotel daerah tersebut.

Rakaman berdurasi 34 saat turut merekodkan kenyataan Haziq yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyiasat menteri terbabit atas tuduhan rasuah.

“Dia (menteri) bukanlah individu yang layak menjadi seorang pemimpin,”tegasnya.

Semalam, beberapa klip video memaparkan dua lelaki di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual. Seorang daripadanya didakwa kelihatan seperti menteri kabinet.

Berhubung perkara itu, media tempatan telah mengajukan soalan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.

Namun, Tun M menjelaskan beliau tidak mengetahui isu penyebaran beberapa keping gambar dan video ‘panas’ mirip seorang menteri kabinet.- MHE TV

Iklan