Siapa yang tidak jatuh cinta dengan lagu romantis I’m Yours dendangan penyanyi dari Amerika Syarikat (AS), Jason Mraz?

Lagu yang dikeluarkan pada tahun 2008 ini menjadi siulan ramai peminatnya di seluruh dunia.

Dan kali ini, sewaktu kunjungan penyanyi berusia 41 tahun ini sempena Konsert Jelajah Good Vibes di Axiata Arena, Bukit Jalil malam semalam, menjadikan lagu tersebut antara yang dinanti-nantikan.

Seramai 10,000 penonton membanjiri konsert Good Vibes yang bermula tepat jam 8.30 malam.

Konsert dimulakan dengan persembahan Zee Rahmat yang menyanyikan lagu All I Ask dendangan asal Adele, dan kemudiannya diambil alih Aizat Amdan yang mempersembahkan single Sampai Ke Hari Tua.

Aizat menyanyikan lagu Sampai Ke Hari Tua.

Kemudian, tepat jam 9 malam, Jason tampil mempersembahkan lagu pembukaannya You And I di dalam persalinan santai one piece hitam yang dihiasi corak neon.

Usai lagu pertama, Jason sempat melontarkan pertanyaan ‘apa khabar Kuala Lumpur’ sebelum meneruskan nyanyian dengan lagu Let’s See What Night Can Do, Living In The Moment dan Geek In The Pink.

Sempena konsert jelajah Good Vibes, ini merupakan kunjungan kali ketiga Jason ke Kuala Lumpur.

Tidak keseorangan, persembahan penyanyi yang berasal dari Virginia ini turut ditemani lima pemuzik wanita yang menggayakan persalinan berwarna-warni, senada dengan imej dan poster Good Vibes.

Paling mengagumkan, Jason kekal bertenaga sepanjang konsert yang berlangsung hampir dua jam.

Antara seleksi lagu yang dipersembahkan Jason ialah I’m Yours, I Won’t Give Up, Lucky, A Beautiful Mess, Be Honest, Love Is Still The Answer, 3 Things, Have It All dan Might As Well Dance.

Kuala Lumpur menjadi destinasi ketiga selepas Manila dan Singapura bagi konsert jelajah Asia 2019 Jason Mraz Good Vibes. – MHE TV

Iklan