Lari daripada kebiasaan, pengacara dan pelakon popular, Neelofa memilih untuk menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30 dengan penganjuran majlis keagamaan bersama peminat.

Program Light and Love Saturdate tersebut dihadiri hampir 150 peserta termasuk ahli keluarga, rakan terdekat dan juga peminat setia pelakon Suri Hati Mr. Pilot itu.

Majlis yang dikendali oleh Imam Muda Asyraf itu berkonsepkan perkongsian ilmu yang memberi fokus terhadap cara untuk mengerjakan solat dengan lebih sempurna. 

“Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar. Rata-rata mereka yang hadir nampak begitu bersemangat untuk mendalami ilmu. Saya sendiri tidak sangka, majlis yang dirancang agak lambat ini mendapat sambutan yang sangat baik.

“Hampir 500 orang memohon untuk menghadirkan diri. Bagaimanapun, pihak kami hanya mampu menyediakan tempat untuk 150 orang sahaja. InsyaAllah, saya akan cuba menganjurkan majlis sebegini dengan lebih kerap untuk manfaat bersama,” katanya.

Dalam majlis itu juga, Neelofa sempat berkongsi ilmu dengan menerangkan maksud bacaan dalam solat bersama peminat yang hadir.

Light and Love Saturdate bukanlah acara keagamaan pertama yang dianjurkan oleh pihak Neelofa. Sebelum ini mereka juga aktif menganjurkan beberapa kelas berbentuk kerohanian.- MHE TV

Iklan