Jemaah solat jumaat di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18, di Shah Alam semalam bertukar kecoh sebaik dimaklumkan kehadiran seorang lelaki yang cuba memecah cermin sebuah kereta.

Berita mengejutkan itu juga tular di media sosial selepas satu rakaman video berhubung kejadian tersebut.

Rakaman berdurasi 1 minit 26 saat turut memaparkan seorang lelaki diikat dan diletakkan di dalam keranda jenazah di masjid terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu, lapor media tempatan.

Menurutnya, peristiwa mengejutkan itu berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari. Seorang suspek berusia 36 tahun dipercayai telah sudah memecahkan cermin bahagian tepi sebuah kereta jenis Perodua Axia.

Tindakan lelaki itu bagaimanapun disedari oleh seorang individu yang sedang membuat rondaan sekitar kawasan masjid tersebut.

Kemudian, individu yang membuat rondaan itu telah menghubungi ahli kariah lain bagi membantunya menangkap suspek.

Jelas Baharudin, saksi kejadian itu mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan, kemungkinan patah selepas terlanggar bampar sebuah kereta ketika dia mengejar suspek.

Sejurus kejadian itu, kariah masjid telah menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut sebelum menyerahkan suspek untuk tindakan lanjut.-MHE TV

Sumber gambar/video: Media sosial

Iklan