Baru-baru ini tular satu video seorang individu memecah masuk sebuah rumah yang mana kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pemilik rumah berkenaan.

Pemilik Facebook, Hafiz Hzwany Taher yang berkongsi rakaman itu pada 9 Februari lalu berkata, kejadian tersebut berlaku semasa mereka sekeluarga ketiadaan di rumah.

Menerusi video tersebut, pada awalnya suspek tidak menyedari ada CCTV merakam kelibatnya itu. Namun sebaik menyedarinya, suspek lelaki ini mula cuak.

Apa yang kelakarnya, risau mukanya dirakam CCTV, pelaku mula berjalan mengundur ke arah CCTV sambil sebelah tangan menutup muka dengan baju sebelum suspek turut kebas CCTV tersebut.

“Pasang CCTV, sekali CCTV kau kebas. Pandai pula jalan mengundur dan tutup muka setelah kau sedar kau dirakam,” kongsi Hafiz.

Ujarnya, selain CCTV pelaku turut melarikan duit tabung milik anaknya selain beberapa barang kemas milik ibunya.

Katanya lagi, walaupun CCTV tersebut dilarikan, namun rakaman kejadian itu masih ada melalui sistem ‘cloud recording’ iaitu sebuah media penyimpanan dalam talian.

Akibat kejadian itu beliau telah membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.

Semalam, dalam kemas kini terbaharu, Hafiz berkongsi yang keluarga suspek telah memulangkan barang yang dicuri anak mereka termasuk beberapa barang kemas milik ibunya yang gagal dijual.

Walaupun sudah dipulangkan, Hafiz sedikit geram apabila keluarga tersebut memarahi ibunya kerana menularkan rakaman tersebut selain membuat laporan polis dengan alasan barang curi telah dipulangkan.

“Walaupun telah tiga hari berlalu, namun setiap kali saya tonton kembali video ni, secara automatik badan saya menggigil kemarahan semula.

“Yang paling geram, keluarga suspek pula marah mak kerana saya buat laporan polis dan tularkan video anaknya. Alasannya mereka sudah pulangkan semula kamera CCTV dan beberapa barang kemas lama mak yang tak berjaya dijual,” kongsinya.

Suspek pula belum berjaya ditangkap dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan pihak polis. – MHE TV

Iklan