Sudah banyak kisah dikongsikan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew membabitkan kehidupan sebenar di sebalik golongan transgender.

Malah Ustaz Ebit sendiri banyak kali turun padang bertemu empat mata dengan golongan pelacur dan mak nyah untuk menyelami perasaan dan 1,001 cerita tentang kehidupan mereka.

Ketika menyantuni golongan ini di lorong-lorong yang menjadi kelaziman bagi mereka, ada satu kisah yang dikongsikan Ustaz Ebit malam tadi cukup menjentik perasaan.

“Ada seorang kakak ni dah lama kerja ini. Suami dah tak ada. Dari 13 tahun sampai sekarang kerja lorong. Anak tiga orang belajar Mesir.

“Bila anak minta duit, dia bagi dan anaknya tak tahu kerja maknya. Dia seorang diri besarkan anaknya. Saya doakannya dapat keluar dari kerja semua ini dan anaknya dapat bantu ibunya. Sedih menangis kakak tu,” kongsi Ustaz Ebit tentang kisah salah seorang wanita yang disantuninya.

Menerusi Instagram miliknya, Ustaz Ebit juga berkongsi beberapa kisah dan pengalaman sewaktu bertemu golongan transgender ini di lorong-lorong.

“12malam tadi terus pergi ke lorong-lorong jumpa transgender/mak nyah dan wanita-wanita kerja lorong. Menangis selepas jumpa mereka.

“Tak berhenti mereka cakap terima kasih datang. Tak pernah lagi sesiapa datang di lorong ini beri nasihat. Itu paling buat saya sebak di hati.

“Sebak menangis bila dapat jumpa saudara yang baik yang diuji dalam kehidupan,” luahnya.

Ustaz Ebit turut berkongsi ada di antara mereka sudah bekerja dari umur belasan tahun dengan alasan untuk menyara keluarga.

“Ada seorang ni mula kerja lorong dari umur 11 tahun lagi untuk sara dan bantu keluarga, adik beradik. Sehinggalah hari ini. Menangis saya dengar. Ada dari 14 tahun dan 15 tahun.

“Mereka bawa saya ziarah semua wanita dan transgender yang kerja lorong. Banyak soalan mereka. Saya sedih tengok tempat kerja mereka. Bilik panas dan sempit.

“Ada yang yang tadi belajar solat dan lain-lain. Bila mereka tekun dengar nasihat. Ramai tinggal tempat kerja mereka sedangkan malam ini malam minggu ramai orang. Mereka terus ikut dan banyak dapat berbual dengan mereka. Mereka sedar jelas halal dan haram.

“Pohon doa semua ye buat saya dan mereka semua serta semua manusia di dunia ini. Supaya kita semua sama-sama disayangi Allah dan diampuniNya. Ya Allah diriku mengadu betapa lemahnya dan kekurangan dalam dakwahku. Maafkanlah diriku. Mereka semua baik-baik,” kongsi Ustaz Ebit lagi.

Semoga dakwah jalanan yang diusahakan Ustaz Ebit Lew dapat membuka hati golongan tersebut untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.- MHE TV

Iklan