Tujuh tahun lamanya kumpulan KPop, Nu’est membiarkan peminat menanti mereka untuk kembali semula ke Malaysia dan mengadakan konsert solo.

Penantian itu nyata tidak sia-sia kerana kumpulan yang mempertaruhkan muzik ‘urban electro’ ini berjaya memukau lebih 4,000 penonton pada konsert, Nu’est Segno in Kuala Lumpur yang berlangsung Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, pada Sabtu.

Lengkap dengan lima anggota iaitu JR, Aron, Baekho, Minhyun dan Ren membuka tirai konsert pada pukul 6.00 petang dengan lagu Hello. Single yang pernah melonjakkan populariti mereka di tahun 2013.

Suasana stadium semakin gamat apabila Nu’est meneruskan nyanyian lagu dari koleksi album pertama hingga kini seperti Love Paint, Overcome, Bet Bet, Look, Real Love True Love, I’m Bad dan Daybreak.

Ada segmen solo di mana masing-masing mempamerkan kemampuan dari segi vokal juga tarian. Baekho mendapat sorakan penonton yang kagum dengan peningkatan vokalnya ketika menyampaikan lagu, Thankful For You.

Minhyun bikin peminat fanatik ‘histeria’ ketika menyanyikan lagu Universe. Ren tampil dengan persembahan lebih dramatik menerusi lagu Paradise. Aron membuai peminat dengan lagu Good Love dan JR, ‘menggunakan’ pesona seksinya ketika menyampaikan lagu I Hate You.

Semasa sesi berinteraksi, Nu’est bijak mengambil hati peminat apabila mereka bersungguh-sungguh bertutur dalam bahasa Melayu seperti, “Apa khabar?!”, “lama kita tidak berjumpa”, “kami rindu kamu semua”.

Berlangsung selama dua jam setengah, satu stadium ikut menyanyi bersama apabila Nuest muncul semula di pentas dengan lagu seperti A Little Bit More, Pretty, Face, Action, Beautiful Ghost dan Segno.

Mula debut pada 2012 dengan cemerlang, bagaimanapun kerjaya artis naungan Pledis Entertainment itu dianggap gagal kerana mereka tidak mampu mengekalkan populariti.

Pada 2017, empat anggota (kecuali Aron) ‘diturunkan’ semula ke status pelatih kemudian dihantar mencuba nasib dalam program realiti, Produce 101.

Kejayaan Minhyun selepas terpilih sebagai salah satu anggota kumpulan Wanna One secara tidak langsung membuatkan peminat KPop seluruh dunia kembali memberi perhatian kepada Nu’est.

Sementara menanti Minhyun tamat kontrak bersama Wanna One, empat lagi anggota meneruskan promosi sebagai Nu’est W. Kumpulan itu bubar setelah Minhyun secara rasmi kembali bersama mereka sejak Januari lalu.

“Banyak yang telah kami telah lalu sejak dari hari pertama sampailah sekarang. Kami juga berdepan dengan cabaran dan saat-saat sukar.

“Kadangkala semua itu membuatkan kami seperti hilang arah serta tujuan dan hampir berputus asa.

“Tapi kami bersyukur dan berterima kasih kerana sokongan Love (gelaran peminat) menyuntik semula semangat kami. Kerana kalianlah,Nu’est masih mampu untuk bertahan dan berada di sini hari ini,” kata Baekho mewakili yang lain sebelum ke segmen akhir.

Dengan aksi bertenaga dan mengagumkan pada konsert tersebut, Nuest boleh dikira berjaya meraih semula keyakinan peminat walaupun kerjaya muzik mereka nyaris berkubur, beberapa tahun lalu.

Konsert anjuran IME Productions ini tamat pada pukul 8.30 malam dengan persembahan Nu’est menerusi tiga lagu, A Song For You, Not Over You dan Hey Love.

Malaysia merupakan destinasi kedua terakhir Nu’est dalam rangka konsert jelajah Asia kali ini sebelum ke hentian terakhir iaitu di Taipei, pada 14 September.

Iklan