Trending Tular Video

[VIDEO] Ramai terkejut lihat benih pokok ini gerudi tanah

Selalu pokok akan bercambah sebaik benihnya ditanam ke dalam tanah. Proses ini biasanya memerlukan tenaga kerja manusia.

Tapi, bagi satu spesies tumbuhan berbunga dengan nama saintifiknya Erodium cicutarium, ia tidak memerlukan proses sebegitu.

Sebaliknya, benih tumbuhan pelik ini berupaya ‘menggerudi’ tanah dan seterusnya menanam ‘dirinya sendiri’ sebelum mengeluarkan tunas, dedah seorang Pakar Biologi, Dr. Jaques Dumais dalam sebuah jurnal yang diterbitkan oleh University of California, Berkeley, Amerika Syarikat.

Selepas berlakunya proses pendebungaan dan persenyawaan, pokok induk akan mengeluarkan benih yang lembab, seterusnya akan jatuh ke tanah.

Apabila kering, ia akan mengeluarkan untaian seperti sesungut. Ia berfungsi sebagai ‘lengan’ untuk menstabilkan kedudukannya ketika melakukan proses penggerudian.

Menurut Dumais, biji benih berbentuk pipih dan berpilin akan berputar seperti gerudi sebelum ia mengorek tanah.

Keadaan tanah yang kering sedikit sebanyak memudahkan proses penggerudian itu.

Malah, Dr. Dumais mengandaikan sifat pelik benih pokok itu sama seperti siput laut atau kepah ketika mengorek pasir pantai.

Tambahnya, bahagian biji benih berpilin itu akan tertanam sepenuhnya ke dalam tanah dan ia akan bertindak seperti akar. Manakala lengan untaian itu pula akan bertukar menjadi pokok dan mengeluarkan bunga.

Untuk rekod, Erodium cicutarium adalah sejenis tumbuhan berbunga dan berbuah yang hidup dalam cuaca beriklim panas.

Difahamkan, ia sejenis tumbuhan yang berasal dari lembah Mediterranean dan kemudian dibawa ke Amerika Syarikat pada abad ke-18 untuk dijadikan sebagai tanaman invasif di bahagian barat daya Amerika.

Kini ia turut boleh ditemui di sebahagian besar wilayah selatan benua Amerika Utara.

Tumbuhan ini mempunyai bunga yang berwarna merah jambu serta mengeluarkan benih secara dwitahunan. Daunnya menjadi makanan utama kepada larva rama-rama dari spesies Brown Argus.

Selain digunakan sebagai herba di dalam bidang perubatan, tumbuhan ini juga turut menjadi sumber utama madu yang sangat bernilai.-MHE TV

Iklan
Ruang komen