Hiburan Trending Video

[VIDEO] Rasanya, siapa yang akan mengilai malam esok? – Hael Husaini kongsi gimik Hajat

Tiga buah lagu ciptaan Hael Husaini bersama rakan komposernya, Ezra Kong diumumkan layak ke kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada Ahad ini.

Menerusi kesemua percaturanny, dua buah lagu sahaja adalah nyanyian Hael iaitu Hajat yang disampaikan secara solo, manakala Haram pula merupakan persembahan duet di sisi Dayang Nurfaizah.

Sementara sebuah lagi nukilannya iaitu Nisan Cinta bakal dipersembahkan oleh pasangan duo Jaclyn Victor yang berpadu suara dengan Siti Nordiana.

Berbicara lanjut tentang karya Hajat, jejaka itu teruja berkongsi sekilas gambaran gimik yang wajib dinantikan kemunculannya oleh para audiens kelak.

“Dalam lagu Hajat, terdapat bahagian nyanyian seperti seseorang sedang mengilai. Di situlah sebahagian gimik yang perlu diberi perhatian agar tidak terlepas momen menarik.

“Rasanya mesti ramai tak sabar nak tahu siapa yang akan mengilai kan?” ulasnya ketika ditemu bual.

Enggan mendedahkan kejutan lain yang sudah dirancang, Hael berharap para peminat menikmati tiap-tiap momen persembahannya sama ada menerusi lagu Haram mahupun Hajat.

Paling utama, bekas anggota Azhael itu mahu semua penonton yang menonton AJL 33 terhibur dengan aksi dan pesona barisan finalis acara berprestij tersebut.

“Peminat juga jangan terlupa menyokong lagu Nisan Cinta yang digalas tanggungjawabnya oleh dua penyanyi wanita bervokal mantap, Jaclyn dan Nana untuk duet,” tambah Hael.

Mengulas lanjut peluangnya untuk diangkat sekali lagi memotret kejayaan, Hael takut untuk meletak harapan tinggi.

“Namun, peluang Nisan Cinta lebih besar berbanding Haram dan Hajat tetapi tiada siapa menduga rezeki Allah yang akan kita peroleh. Tentunya, sekali pun Dia tak pernah tersalah alamat,” tuturnya optimis. – MHE TV

Iklan
Ruang komen