AKTOR dan ahli perniagaan, Datuk Rosyam Nor, 51, menafikan dirinya adalah barua Cina, bahkan merupakan tauke pasar raya ST Rosyam Mart.

Mula dibuka pada pertengahan tahun lalu, Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin menjelaskan, dia memiliki 10 peratus syer syarikat berkenaan.

Bengang dituduh selaku orang tengah atau barua kepada kaum Cina, bintang filem Castello itu membuat satu laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini.

“Memang saya marah atas tuduhan itu. Mereka bukan saja merosakkan reputasi perniagaan diceburi, tetapi nama baik saya sebagai selebriti.

“Biarlah mereka tak anggap saya tauke ST Rosyam Mart, tetapi menuduh saya sebagai barua amat keterlaluan!” tegasnya.

Rosyam Nor dan rakan kongsinya menunjukkan laporan polis yang dibuat

Tambahnya, terdapat juga individu yang biadab menuduh ahli keluarga Sri Ternak Group sebagai pengedar dadah.

“Jadi, laporan polis terpaksa dibuat terhadap pemilik akaun Facebook bernama Mohd Fauzi yang membuat tuduhan sedemikian,” jelasnya.

Selain itu, syer syarikat tersebut turut dipegang oleh Pengarah Sri Ternak Group iaitu Datuk Raymond Ho Cheng Hann sebanyak 89 peratus, manakala adiknya, Alan Ho Cheng Yek memiliki pegangan 1 peratus.

Premis pasar raya ST Rosyam Mart di Setiawangsa mula beroperasi Jun lalu

Sejak Rabu lalu, kecoh di media sosial mengatakan Rosyam bukan pemilik pasar raya tersebut, tetapi sekadar duta bagi sebuah perniagaan yang dikuasai kaum Cina.

Bagaimanapun, Rosyam enggan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun Facebook terbabit.

“Akan tetapi, jika berulang lagi, saya tidak teragak-agak mengheretnya ke muka pengadilan,” tegas Rosyam memberi amaran.

ST Rosyam Mart beroperasi selama 24 jam setiap hari dan cawangan pertama terletak di Setiawangsa. – MHE TV

Iklan