Ara berjaya tebus kekecewaan tahun lalu dengan kejayaan menduduki tempat kedua.

Sewaktu penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32), Ara Johari, 22, diuji dengan masalah kesihatan, sekali gus berhadapan detik sukar menyampaikan lagu Warkah Untukku.

Ditemui usai tamatnya AJL 33 baru-baru ini, Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari mengakui dia langsung tak menjangka bahawa lagu Bunga mampu bergelar naib juara.

“Ketika Alif Satar dan Sherry Alhadad mengumumkan keputusan, saya tidak begitu pasti dengan kemenangan Bunga kerana suasana dewan yang bising.

“Apatah lagi, pada waktu itu perasaan gementar saya bercampur-baur dengan rasa, teruja, gembira dan sebagainya.

“Namun setelah melihat sorakan kegembiraan barisan komposer lagu ini, barulah saya yakin,” ujar Ara berkongsi momen indahnya.

Single ketiga nyanyian Ara diberi judul Paku.

Mengulas lanjut, Ara menyifatkan pencapaiannya itu sebagai habuan peribadi terhadap usahanya sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia seni suara.

Ekoran kemenangan yang diraih, karya yang digubah oleh tiga pengkarya iaitu Hang Nadim, Laq dan Kadok itu layak membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 berserta trofi.

Tonton video temu bual eksklusif bersama Ara untuk menyelami isi hati gadis bertubuh genit yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu. – MHE TV

Iklan