Didakwa menjalani pembedahan plastik bagi mengubah struktur wajahnya, aktres Sherry Ibrahim bagaimanapun langsung tidak melenting menjawab spekulasi liar itu.

Menerusi temu bual dengannya baru-baru ini, Sherry mendedahkan perkara sebenar di sebalik penyebaran khabar angin berkenaan yang kononnya berhabis ribuan ringgit bagi menyempurnakannya.

“Mana ada saya keluarkan duit untuk bedah muka. Cuma dihabiskan demi pelaburan bisnes saya saja,” jawabnya spontan sekali gus menepis dakwaan warganet.

Pada masa sama, Sherry turut mendedahkan bahawa perubahan yang dilihat pada wajahnya adalah disebabkan teknik solekan dan sudut gambar diambil.

“Jadi, anda semua kena belajar teknik-teknik tu tanpa mengeluarkan modal walau sesen pun,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, Sherry turut memperjelaskan kedudukan terkininya dalam perniagaan produk kecantikan Deja Cosmetic.

“Saya sebenarnya sudah menjual keseluruhan pegangan syer dalam syarikat tersebut.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan ceburkan diri dalam perniagaan lain. 

“Tetapi buat masa ini, saya fokus dengan bisnes sedia ada,” ujarnya yang merupakan usahawan tudung. – MHE TV

Iklan