Tiga lelaki yang menyamun dan melarikan dua ekor kucing di sebuah kedai peliharaan dan jualan haiwan di Taman Melawati, Ampang Jaya, Rabu lalu diburu polis.

Dalam kejadian pada pukul 6.50 petang, terdapat tiga pekerja sedang bertugas di premis berkenaan sebelum diserbu tiga lelaki bersenjatakan parang.

Pekerja yang panik dan ketakutan terus meluru masuk bersembunyi di bilik bahagian belakang pejabat premis tersebut.

Lima minit kemudian apabila keluar semula dari bilik berkenaan mereka mendapati tiga suspek sudah beredar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohd Zaid Hassan berkata, hasil pemeriksaan mereka mendapati wang tunai dalam mesin juruwang dan dua kucing dilarikan penjenayah. 

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati pada hari yang sama dan jumlah kerugian dianggarkan lebih RM5,500,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Sebelum ini, kejadian itu tular selepas rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden samun dan curi berkenaan dikongsi di media sosial sejak semalam. – MHE TV

Iklan