Seorang ibu cemas apabila anak perempuannya dirangkul lelaki tidak dikenali di perkarangan masjid di Taman Seri Melati, Selayang.

Dalam video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 40 saat yang tular di laman sosial menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan sedang bermain di perkarangan masjid sebelum dia dihampiri lelaki yang dilihat seolah-olah merangkul badannya.

Wanita dipercayai ibu kanak-kanak terbabit yang menyedari kejadian itu dilihat keluar dari dalam masjid lalu menarik anaknya semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia 32 tahun.

“Kata wanita itu, dia bersama dua anak perempuannya menghadiri kelas agama di masjid berkenaan kira-kira 8 pagi. Sedang mendengar tazkirah di dalam masjid, seorang daripada anaknya berusia tujuh tahun keluar untuk mencuci tangan.

“Bagaimanapun, seorang lelaki memegang dan cuba mengangkat mangsa. Namun, wanita terbabit yang melihat insiden itu terus bergegas keluar dan menarik anaknya masuk ke dalam masjid, manakala suspek masih berlegar-legar di perkarangan masjid beberapa minit kemudian sebelum beredar,” katanya.

Tambahnya,  berdasarkan keterangan wanita terbabit, lelaki itu dipercayai kurang siuman.

“Menurut setiausaha masjid berkenaan, Mohd Nur Afzan Ab Wahab, dia tidak menyedari kejadian itu. Namun selepas melihat rakaman CCTV, dia mengenali suspek .

“Suspek juga dipercayai kurang siuman kerana sentiasa bercakap sendiri. Malah, lelaki itu kerap datang ke masjid terbabit untuk menunaikan solat,” katanya. – MHE TV

Iklan