Jenayah Trending Tular Video

(VIDEO) wanita dibelasah penyamun dalam lif

Polis sedang mengesan seorang lelaki selepas membelasah dan menyamun seorang wanita dalam sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun itu berada dalam lif berkenaan bersama suspek, lapor Utusan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, ketika kejadian itu, mangsa dibelasah suspek sehingga cedera di dahi.

“Mangsa mengalami kecederaan bengkak di dahi dan kesakitan di badan serta kehilangan dokumen peribadi serta wang tunai RM400.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya.

Kejadian tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular dalam media sosial.

Video berdurasi 57 saat itu menunjukkan suspek mengekori mangsa memasuki lif berkenaan. Sebaik pintu lif tertutup suspek terus menumbuk mangsa beberapa kali serta menarik rambut dan menendang mangsa.

Semasa lif berhenti di tingkat lain suspek berhenti memukul mangsa seolah-olah tiada apa berlaku tetapi sebelah tangannya masih memegang rambut wanita terbabit.

Suspek kemudian segera menekan butang untuk menutup pintu lif berkenaan sebelum membelasah mangsa semula.

Lelaki itu menarik beg tangan mangsa dan mengambil dompet wanita itu sebelum melarikan diri. – MHE TV

Iklan
Ruang komen