Pada April 1999, lima penyanyi dari Ireland muncul dan mencipta fenomena baru ketika itu apabila mereka menjadi ‘boyband’ kegilaan peminat impak daripada populariti lagu mereka, Swear It Again.

Lagu itu menjadi single paling laris dan mencatat jualan tertinggi dalam sejarah muzik antarabangsa sekali gus memadamkan rekod kejayaan yang pernah dicipta, Elvis Presley dan The Beatles.

Sayangnya pada tahun 2012, kumpulan ini bubar sekali gus membuatkan peminat di seluruh dunia kecewa. Namun dunia kembali meraikan penyatuan semula mereka tahun lalu.

Dan malam tadi, bertempat di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, kumpulan Westlife (yang kini tinggal berempat) kembali mengubat kerinduan dan menggamit nostalgia peminat setia mereka di tanah air.

Menerusi konsert jelajah diberi nama The Twenty Tour Live in Malaysia, ini merupakan persembahan pertama Westlife di sini setelah mereka bersatu semula dan selepas kali terakhir membuat persembahan di ibu negara pada 2011 menerusi konsert jelajah The Gravity Tour.

Di hadapan lebih 7000 penonton, Shane Filan, Mark Feehily, Kian Egan dan Nicky Byrne membuka konsert, dengan Hello My Love. Menariknya, lagu single kemunculan semula mereka ini merupakan ciptaan Ed Sheeran, yang kini bukan hanya bergelar penyanyi Pop sensasi dunia tetapi dia juga adalah peminat tegar Westlife.

Suasana stadium semakin bergema dengan jeritan histeria penonton sebaik Westlife meneruskan persembahan lagu ‘berhantu’, Swear It Again.

Terus membuat adrenalin peminat semakin melonjak, saat mereka persembahkan deretan lagu klasik seperti, What About Now, My Love, When You’re Looking Like That, Uptown Girl If I Let You Go dan Better Man.

“Apa khabar Malaysia!, kami teruja dapat kembali lagi dan bertemu dengan kamu semua. Setiap kali berkunjung ke sini, memberikan pengalaman manis buat Westlife.

“Saya masih ingat bagaimana Malaysia menyambut kami dengan layan begitu mesra dan baik ketika kami datang ke sini dulu. Ketika itu kami masih muda,”kata Nicky.

Sementara Shane pula seolah-olah memahami perasaan peminat yang mustahil hanya mahu duduk dan menonton persembahan mereka selama dua jam itu.

“Selama 20 tahun ini, kami sangat menghargai sokongan kalian. Jadi malam ini kami akan membawa kalian menggamit semula nostalgia kita.

‘Kalian mahu menyanyi bersama, ayuh silakan! Mahu menari, juga silakan! Kami akan menjadikan ‘malam Westlife’ kalian ini paling menakjubkan dalam hidup kalian,” kata penyanyi berusia 40 tahun itu.

Di pertengahan konsert, Westlife membawa penonton ke era Queen menerusi mempersembahkan medley lagu-lagu popular kumpulan legenda Rock itu.

“Saya mahu kalian simpan telefon pintar dan ayuh kita nyanyi bersama,” kata Shane sebelum mereka meneruskan persembahan dengan lagu seperti I Have a Dream, Unbreakable, Fool Again, Queen of My Heart, Dynamite, You Raise Me Up, Flying Without Wings dan World of Our Own sebagai lagu penutup.

Secara keseluruhan, konsert hari pertama anjuran Macpiepro ini tentunya berjaya memberikan satu pengalaman terbaik dan kepuasan buat peminat yang dapat melepaskan rindu mereka terhadap Westlife.

Biarpun dari tempat duduk, penulis boleh mendengar beberapa orang penonton menyedari dan berkata, “mereka miming ker”? Tapi, siapa yang peduli dengan semua itu!

Tidak mengapa sekalipun Westlife ‘kantoi’ miming (hanya untuk beberapa lagu), kerana yang penting penampilan mereka di hadapan mata sudah memadai dan mereka selamanya kekal di hati peminat.

Malam ini, Westlife akan beraksi untuk hari terakhir di stadium yang sama dan dijangka akan disaksikan seramai 7000 penonton. -MHE TV

Iklan