Kelibat buaya kuning coklat dengan belang hitam dipercayai muncul di Sungai Batu Pahat.

Difahamkan, kemunculan haiwan pemangsa itu berjaya dirakam oleh orang awam yang melalui Jambatan Batu Pahat.

Menerusi rakaman video 35 saat itu, kemunculan buaya terbabit heboh diperkatakan warga tempatan termasuklah di media sosial sejak tengahari semalam.

Khabarnya, sebelum ini haiwan sama pernah muncul di situ kira-kira 30 tahun lalu.

Apa yang pasti, kelibat sang bedal berukuran tiga meter itu secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan warga tempatan.

Memetik laporan NSTP, orang ramai meluahkan rasa bimbang kerana kawasan sungai terbabit menjadi lokasi beriadah, pusat gerai makanan dan lokasi tumpuan para pemancing.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Pahat memaklumkan belum menerima sebarang aduan daripada orang awam susulan video tersebut.

Bagaimanapun, orang awam dinasihatkan berhati-hati dan tidak mengganggu haiwan berkenaan.-MHE TV

Iklan