Profesion sebagai juru kimpal dalam air merupakan bidang yang didominasi oleh kaum lelaki.

Soalnya, adakah kaum wanita boleh turut serta dalam dunia pekerjaan yang penuh risiko ini?

Jawapannya ialah ‘Ya’ apabila seorang gadis kelahiran Selama, Perak telah membuktikan golongan hawa pun mampu melaksanakan tugas yang mencabar ini.

Nama penuh gadis ini ialah Nurizzati Athira Mohamad Yusoff. Baru berusia 21 tahun namun sudah menempa nama dalam profesion pekerjaan ini.

Sifat keberanian dan skil yang ditonjolkan gadis ini meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri.

Tidak hairanlah, tahun lepas, Nurizzati telah diiktiraf sebagai juru kimpal dalam air wanita pertama dari Malaysia oleh International Technical Diving Agency (ITDA).

Nurizzati yang kini setahun sebagai juru kimpal profesional dalam air merupakan pelajar wanita tunggal yang mengikuti kursus kimpalan dalam air di Kolej Vokasional Taiping pada 2013.

Minat beliau yang mendalam terhadap tugas ini mendapat perhatian daripada pihak Weldzone Training Centre Sdn Bhd untuk membiayai kos sebanyak RM50,000 bagi pengajiannya dalam bidang kimpalan dalam air.

Cabaran

Sebagai juru kimpal profesional dalam air, Nurizzati akui pernah berdepan situasi mencemaskan semasa melaksanakan tugasan.

Pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika awal pembabitannya dalam bidang ini apabila bekalan oksigen hampir kehabisan ketika melakukan selaman pada kedalaman 30 meter.

“Masa itu, ada juga rasa cemas (turun sedalam 30 meter) dan gas hampir habis tapi kita terus cuba dan cuba, tidak putus asa dan berani hadapi risiko.

“Saya seronok pada usia muda menceburi bidang ini, kita seharusnya pandang ke depan. Selagi sihat tubuh badan dan kalau betul-betul minat (kimpalan dalam air) tidak salah untuk mencuba,” katanya dipetik dari Bernama.

Namun, situasi mencemaskan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyelesaikan tugasan yang diberikan selain risiko terdedah pada renjatan elektrik.

“Masa terkena peralatan elektrik basah itu rasanya tidaklah sampai hampir hendak putus nyawa, ia hanya rasa seperti cubit-cubit digigit semut,” kongsi pembantu pengajar bidang kimpalan dalam air di Weldzone Training Centre Sdn Bhd.-MHE TV

Iklan